KPK, AADK sedia latihan komoditi untuk klien PUSPEN

KPK, AADK sedia latihan komoditi untuk klien PUSPEN

am@hmetro.com.my

Melaka: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menyediakan latihan kemahiran dalam sektor komoditi kepada klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu bertujuan membuka peluang kedua kepada klien PUSPEN untuk membina kehidupan baharu menerusi penguasaan kemahiran yang boleh dimanfaatkan bagi mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan.

Beliau berkata, kemahiran dalam bidang komoditi berpotensi membantu golongan berkenaan berdikari selepas kembali ke pangkuan masyarakat, selain menyumbang kepada keperluan tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan.

“Melalui kerjasama ini, klien PUSPEN akan diberikan latihan kemahiran dalam bidang komoditi.

“Kemahiran ini nanti mampu membuka jalan kepada pekerjaan dan pendapatan apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

“Pada masa sama, ia membantu menampung keperluan tenaga kerja tempatan di sektor perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi MADANI Melaka di Dewan MBMB Hang Lekir, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kerjasama itu akan dimulakan di Melaka sebagai usaha membuka peluang kepada golongan berkenaan membina kehidupan lebih baik menerusi penguasaan kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.

“Atas semangat inilah KPK akan meneliti ataupun akan bekerjasama dengan agensi seperti AADK.

“Melalui kerjasama ini, klien PUSPEN kita akan berikan latihan kemahiran dalam bidang perkayuan, dan kita akan mulakan di Melaka ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top