am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 1,832 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum disahkan dalam perkhidmatan berikutan belum memenuhi satu atau lebih syarat yang ditetapkan sehingga 30 September lalu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, faktor utama kelewatan berkenaan membabitkan seramai 1,799 guru yang tidak lulus peperiksaan ditetapkan, khususnya elemen kefahaman dalam penilaian Program Transformasi Minda (PTM).
Beliau berkata, terdapat punca lain yang turut menyumbang kepada masalah berkenaan termasuk isu perlanjutan tempoh percubaan.
“Antaranya membabitkan 29 PPP yang dikenakan perlanjutan tempoh percubaan tanpa denda, tiga PPP dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda dan seorang PPP dibekukan tempoh percubaannya.
“Secara keseluruhan, seramai 7,723 PPP kini berada dalam proses untuk mendapatkan pengesahan perkhidmatan,” katanya.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat, hari ini.
Adnan meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah guru yang belum mendapat pengesahan perkhidmatan mengikut tempoh dan negeri, serta faktor yang menyebabkan kelewatan proses berkenaan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM memperjelas bahawa syarat sah jawatan menetapkan seseorang PPP perlu menamatkan tempoh percubaan antara satu hingga tiga tahun, lulus PTM atau Kursus Induksi, selain diperaku Ketua Jabatan serta memenuhi syarat lain yang ditetapkan.
“Pengesahan dalam perkhidmatan adalah proses memperakukan bahawa seseorang penjawat awam memenuhi semua syarat di bawah skim perkhidmatannya sebelum disahkan sebagai anggota tetap.
“KPM komited memastikan urusan pengesahan ini serta proses pelantikan tetap dan penempatan PPP Contract of Service dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut peraturan,” menurut jawapan bertulis itu lagi.
Menurut Fadhlina, KPM akan memperkukuh kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi mempercepat penyelesaian kes tertangguh demi memelihara kebajikan guru dan keperluan murid.
© New Straits Times Press (M) Bhd




