Pilihan Raya Pertengahan Penggal AS: Nasib Trump jadi taruhan

Pilihan Raya Pertengahan Penggal AS: Nasib Trump jadi taruhan

WASHINGTON – Pengundi Amerika Syarikat (AS) bakal menentukan nasib Presiden Donald Trump menerusi Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada Selasa yang turut menjadi ukuran terhadap prestasi dua tahun pertama penggal keduanya di Rumah Putih yang sarat kontroversi.

Tinjauan pendapat dan penganalisis bebas menjangkakan Parti Demokrat berpeluang merampas kawalan di Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan manakala persaingan bagi menguasai Senat masih sengit dan sukar diramalkan.

Pertarungan merebut majoriti di Senat tertumpu kepada hampir 10 kerusi di beberapa negeri yang menyaksikan persaingan sengit, kebanyakannya di kawasan yang menjadi kubu kuat Republikan.

Sebanyak 435 kerusi Dewan Perwakilan dan 35 daripada keseluruhan 100 kerusi Senat dipertandingkan pada kali ini meskipun kebanyakan kerusi dijangka tidak menyaksikan pertarungan kompetitif.

Demokrat perlu memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi tambahan di Dewan Perwakilan dan empat kerusi di Senat untuk memperoleh majoriti di kedua-dua dewan Kongres itu. Persaingan bagi kerusi Senat turut tertumpu di Iowa, Nebraska, Ohio dan Carolina Selatan yang dikuasai Republikan.

Pertembungan bagi merebut majoriti di Dewan Perwakilan sebahagian besarnya tertumpu di kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat Republikan termasuk beberapa daerah yang dimenangi Trump dengan majoriti besar pada pilihan raya 2024.

Dalam pada itu, langkah Republikan yang mendapat sokongan Trump untuk menyusun semula sempadan kawasan pilihan raya di beberapa negeri bagi menjamin kelebihan parti itu dilihat tidak mencapai hasil seperti yang disasarkan Rumah Putih.

Untuk memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan, sesebuah parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 218 kerusi. Bagi menguasai Senat pula, sesebuah parti memerlukan sekurang-kurangnya 51 kerusi untuk memperoleh majoriti mutlak.

Bagaimanapun, sekiranya kedudukan di Senat terikat pada nisbah 50-50, Naib Presiden mempunyai kuasa untuk memberikan undi pemutus, sekali gus menentukan parti yang menguasai dewan tertinggi Kongres itu.

Keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS dijangka mula diketahui secara berperingkat selepas pusat pengundian ditutup pada malam Selasa (waktu tempatan).

Memandangkan proses kiraan undi berbeza mengikut negeri, ia tidak akan diumumkan serentak. Keputusan bagi beberapa kerusi mungkin diketahui pada malam yang sama manakala persaingan yang sengit boleh mengambil masa beberapa hari sebelum pemenang disahkan.

Di Malaysia, perkembangan keputusan boleh mula diikuti pada pagi Rabu (waktu Malaysia). – Agensi

 

Scroll to Top