MCMC sudah turunkan lebih 60,000 kandungan buli di media sosial – Fahmi

MCMC sudah turunkan lebih 60,000 kandungan buli di media sosial – Fahmi

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 60,632 kandungan berunsur buli, 55,895 kandungan palsu dan 1,277 kandungan fitnah sudah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berdasarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memperkukuh kerangka kawal selia keselamatan digital menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] bermula 1 Januari 2026.

Beliau berkata, usaha itu bagi menangani pelbagai ancaman dan isu kandungan memudaratkan seperti buli siber, fitnah serta penyebaran berita palsu.

Menurutnya, penguatkuasaan akta baharu itu turut disokong menerusi pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].

Katanya, langkah bersepadu itu penting bagi memastikan persekitaran perkhidmatan dalam talian di negara ini kekal selamat dan bertanggungjawab.

“Dari aspek penguatkuasaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan PDRM membabitkan bantuan teknikal, perkongsian maklumat, analisis forensik digital serta penyelarasan tindakan penurunan kandungan dan sekatan laman sesawang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi soalan Muhammad Ismi Mat Taib [PN-Parit] di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Ismi meminta Kementerian Komunikasi menyatakan langkah pencegahan yang diambil bagi menangani unsur negatif di media sosial.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Buli Siber bagi menyelaraskan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan secara bersepadu membabitkan pelbagai kementerian serta agensi.

Beliau berkata, dalam usaha mengawal penyebaran maklumat palsu, MCMC turut memperkasakan Portal Sebenarnya.my yang menerbitkan 1,211 artikel semakan fakta sejak 2022 hingga September lalu.

“Selain itu, pengenalan pembantu semakan fakta berteknologi kecerdasan buatan (AI Fact-check Assistant – AIFA) sejak 28 Januari 2025 membolehkan masyarakat menyemak kesahihan maklumat dengan lebih pantas.

“Sehingga 15 September 2026, AIFA sudah memproses sebanyak 242,706 mesej daripada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, aspek kesedaran awam turut dipergiat menerusi Kempen Internet Selamat yang dilancarkan sejak Januari 2025, yang mana sehingga 30 September 2026 berjaya menjangkau lebih 2.8 juta peserta menerusi program di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti di seluruh negara.

Fahmi menegaskan, kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan, penyedia platform dan masyarakat tanpa menjejaskan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top