RM4.26 juta hargai kejayaan atlet negara, Azizulhasni bawa pulang RM180,000

RM4.26 juta hargai kejayaan atlet negara, Azizulhasni bawa pulang RM180,000

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan menyalurkan insentif berjumlah RM4.26 juta kepada atlet dan jurulatih negara menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai penghargaan atas kejayaan mengharumkan nama Malaysia pada tiga temasya utama antarabangsa sepanjang tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, jumlah itu merangkum insentif SHAKAM kepada atlet pemenang pingat, manakala RM710,000 lagi disalurkan menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

Insentif berkenaan membabitkan kejayaan kontinjen negara pada Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.

Daripada jumlah keseluruhan itu, Sukan Asia menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM1.87 juta, diikuti Sukan Para Asia (RM1.30 juta) dan Sukan Komanwel Glasgow (RM1.09 juta).

Pada Sukan Komanwel Glasgow, kontinjen negara melepasi sasaran lima pingat emas apabila membawa pulang lapan emas, tiga perak dan lima gangsa untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.

Skuad angkat berat menjadi penyumbang utama dengan lima emas, selain kesemua pemenang acara berkenaan turut mencipta rekod baharu temasya.

Di Sukan Asia Aichi-Nagoya pula, kontinjen negara turut melepasi sasaran enam emas apabila meraih sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa, sekali gus menyamai pencapaian terbaik Malaysia pada edisi Guangzhou 2010.

Sementara itu, skuad para negara mencapai sasaran enam emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, dengan antara penyumbang utama ialah Datuk Latif Romly, Bonnie Bunyau Gustin, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Zulhairie Ahmad Tarmizi.

Dalam senarai penerima, Datuk Azizulhasni Awang muncul atlet yang menerima insentif individu tertinggi sebanyak RM180,000 hasil kejayaan meraih dua emas dan satu gangsa dalam dua temasya utama tahun ini.

Latif pula menerima RM160,000 selepas memenangi emas lompat jauh T20 di Sukan Komanwel dan Sukan Para Asia.

Taufiq berkata, insentif berkenaan bukan sekadar ganjaran wang, sebaliknya simbol penghargaan negara terhadap pengorbanan, disiplin dan kecemerlangan atlet serta semua pihak yang menyokong perjalanan mereka.

Beliau turut menegaskan kejayaan berkenaan bukan noktah apabila Malaysia bakal memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan dianjurkan di negara ini, sebelum memburu pencapaian lebih baik pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top