am@hmetro.com.my
Alor Setar: Polis Kedah melumpuhkan tujuh kumpulan sindiket penipuan dalam talian susulan penahanan 87 individu menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sindiket terbabit membabitkan warga tempatan serta warga asing dari China, Pakistan, India dan Bangladesh yang dipercayai menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 33 tangkapan membabitkan warga China, diikuti 15 warga Pakistan, India (lapan) dan Bangladesh (empat) manakala 15 lagi membabitkan penduduk negara ini.
“Pecahan tangkapan mengikut jantina pula menunjukkan 75 lelaki dan 12 wanita. Siasatan mendapati sindiket terbabit menyasarkan mangsa bukan sahaja di Malaysia, malah beberapa negara seperti Thailand, Jepun, China, Australia, India dan Bangladesh.
“Modus operandi digunakan termasuk penyalahgunaan transaksi kewangan institusi perbankan, tawaran nombor ramalan tidak wujud secara dalam talian, penipuan percintaan atau ‘Love Scam’, tawaran kerja sambilan palsu serta penipuan telefon atau ‘phone scam’ dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa,” katanya.
Adzli berkata, sepanjang tempoh operasi berkenaan, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM300,000.
Katanya, antara barangan itu ialah telefon bimbit, komputer, modem, penghala (router), kad ATM, kad prabayar, kad SIM, monitor, pakaian seragam agensi penguat kuasa serta pelbagai peranti komunikasi dan dokumen.
“Penemuan pelbagai peralatan itu menunjukkan kegiatan sindiket berkenaan mempunyai rangkaian operasi tersusun dan berskala besar, selain menyasarkan mangsa merentasi sempadan negara.
“Kesemua individu yang ditahan sudah dituduh di mahkamah mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Adzli berkata, trend terkini menunjukkan sindiket penipuan dalam talian berkenaan lebih gemar menjadikan hotel atau resort terbiar sebagai lokasi operasi kerana mempunyai ruang luas, lebih privasi serta mudah dikawal.
Beliau berkata, premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai pusat panggilan dan pada masa sama dijadikan tempat penginapan ahli sindiket.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya pemilik premis diminta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki premis mereka disewa atau digunakan sebagai pusat operasi penipuan dalam talian.
“Polis turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali serta tidak mudah mempercayai individu yang dihubungi menerusi platform dalam talian, ” katanya.
Adzli meminta mangsa penipuan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi membolehkan tindakan awal diambil untuk menyekat aliran keluar wang daripada akaun bank.
© New Straits Times Press (M) Bhd




