Trending
Da’i Syed dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan merogol wanita pada 2019 menerusi keputusan majoriti 2-1.
Intipati berita
- Da’i Syed dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019 menerusi keputusan majoriti 2-1.
- Sabitan terdahulu didapati tidak selamat selepas panel hakim memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
- Da’i Syed dan isterinya, Hana Ismail menangis sebaik keputusan pembebasan diumumkan di Mahkamah Rayuan.
- Hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan diketepikan selepas rayuannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.
Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.
Menurut laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat menerusi majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid. Bagaimanapun, seorang lagi hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Mahkamah rayuan putuskan sabitan tidak selamat

Ketika membacakan keputusan, Datuk Azman berkata pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Malah, panel hakim memutuskan sabitan terhadap Da’i Syed sebelum ini tidak selamat untuk dikekalkan.
Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, rayuan perayu dibenarkan, hukuman pemenjaraan 10 tahun tiga sebatan oleh mahkamah tinggi diketepikan.
Da’i Syed dan isteri menangis sebaik keputusan diumumkan

Detik penuh emosi berlaku sejurus keputusan majoriti itu diumumkan apabila Da’i Syed yang berada di kandang tertuduh dilihat menangis.
Isterinya, Hana Ismail yang berada di galeri awam turut dilihat tidak dapat menahan air mata selepas mendengar keputusan mahkamah berkenaan.
Untuk rekod, Da’i Syed didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika itu di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, sekitar jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Pada 10 Disember 2020, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Da’i Syed membela diri.
Pada 30 Ogos 2024, beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan sebelum diperintahkan menjalani hukuman pada hari sama.
Namun, selepas 21 hari berada di Penjara Kajang, beliau dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sehingga rayuan utamanya didengar.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Penulis berita dan kandungan digital di Oh! Media yang memfokuskan kepada isu semasa, automotif, teknologi, gaya hidup dan perkembangan tempatan. Beliau menghasilkan kandungan berita, informasi serta kandungan digital untuk pembaca Oh! Media.




