am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Kerajaan Melaka komited memastikan kemasukan pelaburan berimpak tinggi bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah turut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penduduk tempatan tidak sekadar menjadi pemerhati kepada perkembangan industri, sebaliknya berpeluang menikmati limpahan ekonomi hasil kemasukan pelaburan baharu.
Katanya, cadangan pelaburan bernilai RM6 bilion oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) di Melaka bagi membekalkan tenaga kepada pusat data yang akan dibangunkan di negeri itu berpotensi mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan, selain menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata, pembangunan pusat data yang memerlukan bekalan tenaga mencukupi dan stabil juga mampu membuka ruang kepada Melaka untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Pastinya ia akan menyediakan peluang pekerjaan dan membawa masuk pelaburan bernilai tinggi, selain memperkenalkan teknologi canggih ke Melaka,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Kerja Jawatankuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI di Kuala Sungai Baru, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ab Rauf berkata kerajaan negeri mahu memastikan pertumbuhan industri disokong pembangunan tenaga kerja tempatan, khususnya golongan muda.
Beliau berharap Edra, CGN Energy International dan rakan industri lain terus menyediakan latihan khusus, penempatan industri serta laluan kerjaya bagi membolehkan anak muda Melaka menceburi sektor berkenaan.
“Seiring usaha kita terus melabur dalam infrastruktur tenaga dan teknologi canggih, kita juga perlu melabur dalam pembangunan modal insan yang bakal mencorakkan masa depan industri ini.
“Justeru, saya amat berharap CGN Energy International, Edra dan semua rakan industri akan terus menyediakan lebih banyak peluang kepada tenaga kerja tempatan berkemahiran, khususnya golongan muda di Melaka, menerusi latihan khusus, penempatan industri serta laluan kerjaya yang bermakna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




