PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang masih menziarahi pusara isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, selepas lebih sebulan pemergian Allahyarham.
“Hasmah telah pergi lebih sebulan tetapi masih ramai yang menziarah pusaranya.
“Saya merasa amat terharu dan berterima kasih dengan kehadiran serta doa yang tidak putus-putus untuk Hasmah,” katanya dalam kenyataan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Selain itu, Dr. Mahathir turut memohon maaf kerana tidak dapat kerap menziarahi pusara isterinya dan bertemu dengan orang ramai yang datang berziarah.
Katanya, beliau juga tidak dapat membalas satu persatu surat dan ucapan takziah yang diterima.
“Saya cuba jawab seberapa mampu,” katanya.
Pada 28 September lalu, Dr. Siti Hasmah meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – UTUSAN




