Penganjur acara kecergasan Hyrox Kuala Lumpur 2026 tampil memohon maaf susulan kontroversi kerjasama penajaan bersama jenama minuman beralkohol, Carlsberg, yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Menerusi kenyataan, Hyrox Malaysia memaklumkan pihaknya tidak akan meneruskan kerjasama penajaan berkenaan bagi penganjuran acara di Kuala Lumpur pada Disember depan.
Menurut penganjur, pengumuman kerjasama serantau bersama Carlsberg sebelum ini telah menimbulkan rasa kurang senang sehingga menyinggung sensitiviti agama dan budaya masyarakat tempatan.
“Kami memahami mengapa perkara ini menimbulkan kebimbangan dan menyinggung perasaan. Sepatutnya kami memberikan pertimbangan lebih mendalam terhadap kepercayaan agama serta nilai budaya masyarakat Malaysia.
“Kami telah melakukan kesilapan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, Carlsberg Malaysia menerusi hantaran di Instagram turut menjelaskan bahawa kerjasama serantau bersama Hyrox hanya melibatkan acara terpilih di Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam.
Syarikat tersebut menegaskan bahawa Carlsberg Malaysia bukan penaja dan tidak akan terlibat dalam penganjuran Hyrox Kuala Lumpur 2026 yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan.
Carlsberg Malaysia turut menyatakan komitmennya untuk mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, selain menghormati sensitiviti budaya masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Hyrox Malaysia memaklumkan keputusan untuk tidak melibatkan kerjasama berkenaan dalam acara di Malaysia dibuat bersama pihak Carlsberg.
Penganjur turut menghargai komitmen peserta yang telah meluangkan masa dan tenaga menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pertandingan tersebut.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa penganjuran Hyrox Kuala Lumpur 2026 tidak akan diluluskan selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
Artikel lain: Ditaja syarikat arak? Tarik balik atau KBS takkan luluskan Hyrox KL 2026! – Taufiq Johari
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari turut menetapkan supaya semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan penajaan alkohol dikeluarkan daripada saluran rasmi serta lokasi pertandingan.
Acara Hyrox Kuala Lumpur 2026 dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Sumber: carlsbergmy





