Pelakon veteran Shah Rezza terus berlakon demi ubat rindu

Pelakon veteran Shah Rezza terus berlakon demi ubat rindu

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Foto Aziah Azmee

Kuala Lumpur: Pelakon era 1980-an yang juga usahawan, Datuk Seri Raja Rezza Shah atau dikenali Shah Rezza, 65, mengakui masih aktif berlakon walaupun sudah terbabit dalam dunia lakonan sejak 1982.

Menurutnya, beliau hanya dapat menerima tiga tawaran lakonan sahaja pada tahun ini, manakala banyak pelawaan perlu ditolak kerana kekangan masa berikutan jadual padat.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan masih ada. Tawaran tetap diterima, tetapi saya yang tidak boleh ambil kerana banyak program lain termasuk urusan perniagaan. Jadi, tahun ini saya dapat buat tiga tawaran sahaja.

“Okaylah, syukur Alhamdullilah. Sebab, saya pun masih nak terus berlakon kerana minat. Saya suka pergi lokasi dan bekerja dalam set penggambaran kerana sudah lama jadi pelakon sejak 1982.

“Kiranya, sekarang ini empat dekad saya dalam industri dan Alhamdulillah masih ada produksi mahu beri tawaran serta masih ada juga orang nak tengok saya berlakon,” katanya.

Shah Rezza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media penganjuran Festival Fesyen Islamik (IFF) Kuala Lumpur 2026 kali ke-20, di sini, semalam.

Acara peragaan busana Muslimah yang diperkenalkannya sejak 2006 itu bakal diadakan dengan tema Peranakan The Golden Era pada 21 hingga 23 November ini.

Ditanya mengenai watak, Shah Rezza yang juga pengasas IFF Kuala Lumpur berkata, beliau menerima karekter dirasakan sesuai dibawanya kerana aktiviti berlakon sekadar untuk seronok dan mengubat rindu pada bidang kerja yang sudah lama dibuat.

“Sepertimana pihak media juga yang sudah terbiasa menulis berita. Mesti ada masanya, masih tetap nak menulis juga kan? Macam itulah dengan saya, kadang-kadang mesti ada rasa nak pergi set, berlakon.

“Untuk bayaran, saya rasa okay sahaja. Apa yang pasti, tawaran berlakon akan tetap saya ambil juga walaupun dapat buat satu sahaja dalam setahun. Asalkan adalah berlakon,” katanya.

Antara filem pernah dibintangi Rezza Shah ialah Ali Setan, Kembara Seniman Jalanan, Ali Setan 2, Balik Kampung, Jejaka Perasan, Marah-Marah Sayang, Antara Dua Hati, Kolej 56 dan Hati Bukan Kristal.

Manakala drama pula ialah Memori Cinta Suraya, Tuan Anas Mikael, Lara Aishah, Isteri Tuan Ihsan, Dendam Aurora, Alamatnya Cinta, Terima Kasih Cinta, Dan Mimpi Pun Berguguran, Luruhnya Bunga Cinta dan Susul Rupawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top