Ramanan dedah 598 VVIP gagal carum PERKESO pekerja – “Lebih tinggi daripada menteri pun ada”

Ramanan dedah 598 VVIP gagal carum PERKESO pekerja – “Lebih tinggi daripada menteri pun ada”

Bukan sekadar melibatkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kegagalan membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pekerja domestik turut membabitkan individu yang disifatkan mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada menteri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, seramai 598 individu berprofil tinggi, termasuk kenamaan berstatus VVIP, dikenal pasti gagal menunaikan kewajipan tersebut.

“Lebih tinggi daripada menteri pun ada. Saya bukan nak mainkan isu ini, tetapi ini adalah hak pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, hari ini.

Menurut Ramanan, semakan setakat 1 November lalu mendapati 598 individu itu merupakan sebahagian daripada 10,033 majikan pekerja domestik yang belum memenuhi tanggungjawab mencarum.

PERKESO turut mengesan 26,669 majikan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan dan tindakan susulan.

Mengulas perkara itu, beliau mengingatkan bahawa pengaruh dan kedudukan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kewajipan sebagai majikan.

“Di sini saya ingin tegaskan bahawa kedudukan, pangkat, pengaruh atau status seseorang bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan. Undang-undang terpakai kepada semua tanpa pengecualian,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh akhir untuk majikan terbabit menjelaskan caruman. Nama mereka akan didedahkan kepada umum sekiranya masih gagal berbuat demikian.

“Saya hanya mahu mereka ini bayar caruman. Jadi 7 Disember ini adalah tarikh akhir, selepas ini kita akan laksanakan tindakan undang-undang.
“Ia akan dimulakan dengan kompaun, kemudian mereka boleh didenda RM10,000 atau dikenakan penjara atau kedua-duanya sekali,” tambahnya lagi.\

Beliau juga sudah mengarahkan PERKESO memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan tanpa berkompromi terhadap majikan yang gagal menunaikan kewajipan mereka.

Dalam pada itu, Ramanan menjelaskan bahawa pekerja domestik bukan hanya merujuk kepada pembantu rumah, malah turut meliputi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan pengasuh yang berkhidmat dalam sesebuah isi rumah.

Dalam perkembangan sama, seramai 16 daripada 28 keluarga yang layak menerima faedah PERKESO susulan tragedi di Nepal hadir pada majlis penyerahan hari ini, membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM174,000.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bantuan kepada keluarga mangsa tidak terhad kepada faedah PERKESO semata-mata apabila kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan beberapa agensi lain turut akan membantu mengikut keperluan masing-masing.

Bagi keluarga mangsa yang tidak layak menerima faedah PERKESO kerana tiada caruman dibuat, pihak berkenaan akan mendapatkan bantuan menerusi inisiatif Social Synergy yang mempunyai 990 rakan strategik, termasuk 130 agensi di seluruh negara.

Scroll to Top