SHAH ALAM – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 akan mula disalur kepada 5.4 juta penerima secara berperingkat mulai Rabu.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pembayaran kepada penerima sedia ada akan dibuat mulai 4 hingga 6 November 2026, manakala penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan bakal menerima bayaran bermula 16 November depan.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai empat juta merupakan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah dan 1.4 juta lagi terdiri daripada warga emas tiada pasangan.
“Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing.
“Penerima tanpa akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan layak, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diingatkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu MOF memaklumkan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500 manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150.
Daripada empat juta penerima isi rumah, seramai 2.8 juta terdiri daripada golongan berpendapatan RM2,500 dan ke bawah yang layak menerima bayaran antara RM150 hingga RM500.
Baki 1.2 juta penerima pula merupakan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima bayaran sehingga RM250.
“Peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.
“Orang ramai juga diingatkan supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, penyaluran STR dan SARA merupakan usaha kerajaan mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata, bantuan itu bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih bermaruah tanpa mengira kaum dan agama.
“Menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan saya agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India yang merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.
“Bantuan ini melengkapi usaha kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” ujarnya.



