Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik atau menyimpan stok makanan secara berlebihan menjelang Monsun Timur Laut (MTL) kerana bekalan makanan asas negara ketika ini masih mencukupi dan stabil.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa membeli barangan keperluan seperti beras, telur ayam dan minyak masak dalam kuantiti banyak kerana situasi bekalan makanan masih terkawal.
Menurut beliau, Malaysia juga belum berada pada tahap yang memerlukan rakyat membuat persediaan menyimpan stok makanan seperti yang dilakukan penduduk di sesetengah negara Eropah.
“Setakat ini kita tidak perlu panik lagi. Begitu juga pembelian beras, menyimpan telur ayam, minyak dan sebagainya.
“Insya-ALLAH, kalau sampai peringkat itu kita akan beritahu, tetapi setakat ini kita masih berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar, Rabu.
Kredit Foto: Sinar Harian
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Dalam pada itu, Mohamad turut memberikan jaminan bahawa bekalan beras negara masih mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Insya-ALLAH, cukup. Beras pun cukup,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembelian berlebihan yang boleh menimbulkan kebimbangan dan mengganggu kestabilan bekalan di pasaran.
Artikel lain: Jangan buat pembelian panik! Bekalan beras cukup hingga hujung tahun – Mat Sabu
Mohamad menambah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau situasi bekalan makanan negara serta memaklumkan kepada rakyat sekiranya terdapat perubahan yang memerlukan langkah persediaan tambahan.
Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)




