Hampir setiap hari! Bakal bergelar suami, Danish Hakim banyak minta nasihat bapa soal rumah tangga

Hampir setiap hari! Bakal bergelar suami, Danish Hakim banyak minta nasihat bapa soal rumah tangga

Menjelang hari bahagianya, anak sulung pasangan selebriti Norman Hakim dan Abby Abadi, Mohamed Danish Hakim mengakui kehidupannya kini dipenuhi nasihat serta tunjuk ajar daripada bapanya sebagai persediaan melangkah ke alam rumah tangga.

Danish, 23, meluahkan rasa syukur kerana Norman sentiasa mengambil berat dan tidak lokek berkongsi pengalaman mengenai kehidupan berkeluarga.

Menurutnya, pesanan daripada bapanya bukan sekadar diberikan sekali-sekala, malah hampir setiap hari sebagai bekalan untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Saya banyak meminta nasihat sudah tentu daripada bapa saya sendiri. Memang banyak nasihat yang diberikan, boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan titipkan pesanan.
“Kehidupan saya sekarang ini memang dipenuhi dengan nasihat-nasihat dan tunjuk ajar daripada bapa sayalah,” katanya kepada mStar.

Dalam perkembangan sama, Danish memaklumkan persiapan perkahwinannya bersama wanita pilihan hati, Shalinda kini sudah mencapai lebih 80 peratus.

Katanya, segala urusan berjalan lancar hasil bantuan dan sokongan ahli keluarga, namun dia tetap mahu memainkan peranan dalam menguruskan majlis berkenaan.

“Persiapan majlis perkahwinan saya boleh katakan sudah 80 peratus atau lebih daripada itu. Alhamdulillah dengan sokongan orang sekeliling terutama ahli keluarga.
“Tetapi tidak bolehlah kalau 100 peratus persiapan diserahkan pada ahli keluarga saya sahaja. Saya seorang lelaki dan saya yang mahu berkahwin dengan pasangan saya.
“Jadi saya kenalah ambil bahagian juga dalam membuat persiapan. Cuma sokongan daripada ahli keluarga itu, alhamdulillah memang sangat besar,” jelasnya.

Abby Abadi tidak halang anak sulung berkahwin pada usia muda

Untuk rekod, Danish dan Shalinda dijadualkan melangsungkan akad nikah di Singapura pada penghujung tahun ini, manakala majlis resepsi pula bakal diadakan di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Norman turut berkongsi keterujaannya menguruskan perkahwinan anak sulungnya menerusi Instagram.

Menurut Norman, majlis tersebut dirancang berlangsung secara sederhana dan tertutup dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat sahaja.

Sumber: mStar Online 

Scroll to Top