Sewa Tapak MotoGP Cecah RM3,000, 30 Penjaja Hanya Bayar Lesen RM180, Raih Jualan RM207,000

Sewa Tapak MotoGP Cecah RM3,000, 30 Penjaja Hanya Bayar Lesen RM180, Raih Jualan RM207,000

Bukan mudah untuk peniaga kecil mendapat peluang berniaga di acara pemotoran bertaraf dunia seperti MotoGP, apatah lagi apabila sewa tapak sahaja boleh mencecah RM3,000.

Namun, bagi 30 penjaja tempatan yang menyertai Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026 baru-baru ini, mereka hanya perlu mengeluarkan RM180 untuk lesen perniagaan manakala kos sewa tapak dan kemudahan berniaga ditanggung kerajaan.

Lebih menarik, penyertaan menerusi program Litar Rasa MADANI anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu berjaya mencatatkan jualan keseluruhan RM207,000 dalam tempoh tiga hari.

KUSKOP dalam kenyataan memaklumkan, program yang berlangsung di kawasan K2 Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu turut menerima lebih 10,000 pengunjung.

Salah seorang penjaja yang menyertai Litar Rasa MADANI mengucapkan terima kasih kepada Steven Sim atas keprihatinan kerajaan.

“KUSKOP menanggung sepenuhnya kos sewa tapak, selain menyediakan khemah, baju, apron, meja dan kerusi bagi membantu mengurangkan kos penyertaan peniaga.

“Kesemua 30 penjaja tersebut hanya perlu membayar RM180 untuk lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata inisiatif berkenaan diteruskan selepas kejayaan pelaksanaan Litar Rasa MADANI sempena perlumbaan Formula Satu (F1) pada awal Oktober lalu.

Menurut beliau, acara besar seperti MotoGP sememangnya menarik ramai pengunjung dan menawarkan peluang jualan yang baik, namun kos sewa tapak dan logistik yang tinggi sering menyebabkan penjaja kecil terlepas peluang berniaga di acara besar seperti itu.

Steven Sim meninjau gerai Litar Rasa MADANI yang memberi peluang kepada 30 penjaja terlibat dalam acara bertaraf dunia.

“Melalui Litar Rasa MADANI, penjaja tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk menyewa tapak dan menyediakan fasiliti berniaga.

“Mereka boleh menggunakan modal yang ada untuk menyediakan stok jualan dan mengambil peluang menjana pendapatan daripada pengunjung MotoGP,” katanya.

Dalam pada itu, KUSKOP memaklumkan kerajaan turut menawarkan Tiket MADANI berharga RM49.90 kepada pemegang MyKad untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP dari kawasan K2 Hillstand.

MotoGP Malaysia 2026 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November lalu mencatatkan kehadiran lebih 196,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan.


Scroll to Top