Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan ancaman serangan siber setiap hari, sekali gus mendorong usaha memperkukuh pertahanan negara menerusi cadangan penubuhan cabang keempat khusus bagi menangani peperangan dalam dunia digital.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM sentiasa menjalankan pemantauan dan langkah pencegahan bagi memastikan sebarang ancaman siber terhadap sektor ketenteraan dapat ditangani dengan berkesan.
“Kita setiap hari ada serangan siber. Kami sentiasa memantau, mencegah dan memastikan ia dapat ditangani daripada segi ketenteraan. Saya tidak bercakap daripada segi hal lain-lain.
“Kami juga akan meningkatkan keupayaan itu,” katanya selepas program penyerahan projek Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan.
![]()
Kredit Foto: BERNAMA
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan perubahan bentuk peperangan moden menuntut ATM memperluas keupayaan pertahanannya yang ketika ini tertumpu kepada tiga cabang utama, iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.
“Atas sebab itulah kami mencadangkan untuk mewujudkan cabang keempat iaitu cabang siber yang lebih mantap dan lebih fokus.
“Sekarang kita ada tentera darat, udara, laut. Perang di darat, perang di udara, perang di laut, lepas ini akan ada perang melalui siber.
“Jadi mesti ada angkatan khusus untuk menangani ancaman dan peperangan melalui siber,” jelasnya.
![]()
Kredit Foto: Utusan Online
Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan sebuah Tim Nukleus sudah ditubuhkan baru-baru ini bagi merangka pelaksanaan cabang baharu tersebut.
Katanya, pasukan berkenaan sedang meneliti pelbagai keperluan termasuk pembentukan struktur organisasi, latihan anggota dan persiapan lain sebelum cabang siber dapat diwujudkan secara rasmi.
“Kita sudah tubuhkan nucleus group baru-baru ini. Mereka sedang merancang daripada segi organisasi, daripada segi latihan untuk anggota, daripada segi segala perkara keperluan.
“Insya-Allah ambil masa mungkin paling lambat 2030 untuk kita lancarkan cabang siber angkatan tentera,” katanya.
Beliau menjelaskan, ATM ketika ini sudah mempunyai sebuah rejimen siber yang bertanggungjawab melaksanakan operasi pertahanan dalam domain berkenaan.
Bagaimanapun, kerajaan berhasrat memperluas peranan rejimen tersebut menjadi sebuah cabang ketenteraan khusus bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman dan peperangan siber pada masa hadapan.
Sumber: Utusan Online




