FINAS sambut baik cadangan dana khas penerbitan karya tumpu artis veteran

FINAS sambut baik cadangan dana khas penerbitan karya tumpu artis veteran

puterialia@hmetro.com.my

Hulu Klang: Cadangan penggiat seni veteran, AR Badul, mengenai permohonan dana khas bagi penerbitan karya bersiri yang memberi fokus kepada artis veteran akan dipertimbangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menurut Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, mereka akan membawa permohonan berkenaan ke peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan untuk perbincangan lanjut.

Hans berkata, dengan pengubahsuaian dokumentasi dan format penerbitan, cadangan berkenaan akan disesuaikan menerusi inisiatif sedia ada, iaitu Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR).

“Cadangan itu sangat baik. Apa yang saya nyatakan tadi, saya akan bawa perkara

itu kepada jawatankuasa untuk berbincang.

“Kita ada Dana STAR yang diperuntukkan daripada bajet tahunan industri. Jadi, mungkin boleh sesuaikan dana untuk format drama bersiri,” katanya ketika ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 di sini, hari ini.

Kongsi Hans, format drama bersiri dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelakon veteran untuk berlakon dalam satu-satu naskhah kerana mampu memberi impak yang lebih luas.

“Jika kita jadikan projek drama bersiri, mungkin 10 hingga 15 orang pelakon

veteran dapat terlibat sekali gus dalam satu projek.

“Bila ada cadangan yang bagus, kita jangan buang, sebaliknya kita ambil dan cuba laksanakannya,” katanya.

Terdahulu, AR Badul memberi cadangan agar dana bagi drama bersiri membabitkan barisan pelakon veteran dapat diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkarya.

Katanya, meskipun masih mempunyai tawaran telefilem yang memberi peluang kepada pelakon veteran, ruang watak yang terhad menyebabkan hanya segelintir artis veteran dapat terlibat pada satu-satu masa.

Menurut Badul, dia berharap agar pihak kementerian dan stesen penyiaran dapat menyusun sebuah projek drama bersiri berdurasi panjang yang boleh menampung penglibatan lebih ramai artis veteran secara bergilir.

“Jika kita wujudkan drama bersiri yang mempunyai episod panjang, ruang itu menjadi lebih luas. Puluhan pelakon veteran dapat peluang mengikut kesesuaian jalan cerita.

“Penggiat seni veteran ini jiwanya kental dan masih mempunyai kudrat serta minat mendalam untuk beraksi di hadapan kamera.

“Kami sangat menghargai segala bentuk sokongan dan keprihatinan masyarakat, namun apa yang lebih bermakna buat warga seni adalah peluang untuk terus bekerja dan menyumbang bakat selagi diperlukan,” ujarnya.

Pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 yang berlangsung hari ini, AR Badul dan Norlia Ghani diundang dalam forum dikendalikan Fedtri Yahya selaku moderator.

Badul dan Norlia Ghani diundang sebagai tetamu sempena menjelangnya Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 yang bakal berlangsung pada 21 November depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top