am@hmetro.com.my
Melaka: Calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Muhammad Solehin Saleh, mengakui populariti adiknya, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, banyak membantunya sepanjang tempoh kempen.
Dr Muhammad Solehin berkata, sepanjang tempoh kempen yang kini hampir memasuki minggu pertama, pengundi di DUN berkenaan sering menegurnya dengan gelaran ‘abang Dr Muhammad Akmal’.
Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menafikan pengaruh besar yang dimiliki Dr Muhammad Akmal, yang juga Ketua Pemuda UMNO, dan percaya ia mampu memberikan kelebihan kepadanya dalam persaingan di kerusi berkenaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Dr Muhammad Akmal kerana populariti beliau banyak membantu saya. Saya tidak boleh menafikan dan mengelak bahawa saya adalah abang kepada beliau.
“Saya tidak menganggapnya sebagai satu bebanan berat. Malah, apabila turun berkempen, orang akan bertanya, ‘Ini abang Dr Akmal, ya?”
“Benda yang baik daripada dia, kita teruskan. Namun, apabila di rumah, kita tidak langsung bercakap politik,” katanya kepada media ketika ditemui, di sini.
DUN Bemban menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Dr Muhammad Solehin, yang ditentang penyandangnya, Dr Mohd Yadzil Yaakub daripada Perikatan Nasional (PN).
Turut bertanding ialah calon BERSATU, Muhammad Rabaie Ab Hamid, dan calon BEBAS, Abd Halim Said.
Pada masa sama, Dr Muhammad Solehin berkata, beliau melihat pengaruh adiknya mampu membantu meraih sokongan pengundi, lebih-lebih lagi apabila Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon di Bemban.
Beliau berkata, Bemban ‘istimewa’ kerana menjadi satu-satunya kerusi DUN yang tidak ditandingi dua gabungan besar, iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Maka saya melihat BERSAMA mempunyai peluang untuk menang di sini dengan ketiadaan parti kerajaan bertanding,” katanya.
Dr Muhammad Solehin yang mempunyai empat anak berkata, suasana kempen setakat ini lebih santai dan tidak terlalu menekan berikutan ketiadaan calon daripada BN dan PH di kerusi berkenaan.
“Suasananya agak tenang dan santai kerana hanya menyaksikan pertandingan antara calon BERSAMA, BERSATU, PN dan BEBAS,” katanya yang menyifatkan Dr Muhammad Akmal sebagai seorang yang tegas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




