Johor kaji pusat data guna air terawat daripada sungai tercemar

Johor kaji pusat data guna air terawat daripada sungai tercemar

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengkaji usaha merawat air sungai tercemar bagi penggunaan pusat data, sekali gus mengekalkan bekalan air terawat bagi keperluan domestik khususnya untuk masyarakat setempat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Permodalan Darul Ta’zim (PDT), Ranhill SAJ serta pusat data DayOne.

Menurutnya, usaha pusat data yang berpangkalan di Singapura berkenaan wajar dipuji kerana merawat air dari Sungai Tebrau yang tercemar bagi tujuan pengoperasiannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini satu teknologi baharu, maksudnya pusat data DayOne menggunakan air sungai tercemar, diproses dan digunakan untuk kegunaan mereka, tidak menggunakan air terawat untuk masyarakat.

“Pusat data ini merawat sehingga 80 juta liter air sehari (MLD), namun hanya menggunakan sehingga 10 MLD. Ada lebihan dan kita akan kaji untuk terjemahkan teknologi ini bagi memastikan lebih banyak air dapat kita bekal untuk masyarakat dalam keadaan ekonomi Johor yang sedang membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Majlis Perasmian Sumber Air Alternatif di Pusat Data DayOne, di Kempas Tech Park (KTP), di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han.

Sehubungan itu, Onn Hafiz memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan dengan agensi-agensi terlibat.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kemasukan pelaburan pusat data ke negeri ini tidak memberikan manfaat langsung kepada penduduk setempat.

“Saya perlu tekankan perkara ini kerana ada propaganda di luar mengatakan bahawa syarikat digital tidak menggaji pekerja tempatan yang banyak. Tetapi DayOne membuktikan sebaliknya dengan penyediaan sehingga 650 peluang pekerjaan.

“Majoriti daripada pekerjaan itu dijawat rakyat Johor dan warga Malaysia dengan gaji permulaan lebih daripada RM4,000 sebulan,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top