Pelabuhan Malaysia perlu jana nilai ekonomi tinggi, bukan sekadar urus kargo – Anwar

Pelabuhan Malaysia perlu jana nilai ekonomi tinggi, bukan sekadar urus kargo – Anwar

hakimmahari@nst.com.my

Port Klang: Malaysia perlu beralih daripada sekadar mengendalikan peningkatan jumlah kargo kepada usaha menjana nilai ekonomi yang lebih besar menerusi pelabuhannya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, aspirasi negara adalah untuk memperkukuh kedudukan sebagai hab logistik global dengan menarik aktiviti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membangunkan kepakaran tempatan.

“Pelabuhan Klang sahaja mengendalikan rekod sebanyak 15.1 juta unit setara 20 kaki (TEU) tahun lalu dan berada dalam senarai 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia.

“Langkah seterusnya ialah memanfaatkan kekuatan itu dengan meraih lebih banyak nilai yang mengalir melalui pelabuhan kita, bukan sekadar mengira jumlah kargo semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pengedaran Global Daiso di sini, hari ini.

Anwar berkata, kemudahan itu membuktikan bagaimana Malaysia mampu meraih manfaat daripada perdagangan global melebihi skop pengendalian kargo konvensional.

Katanya, barangan yang tiba di pusat berkenaan akan diisih, disimpan dan dibungkus semula untuk pasaran antarabangsa, sekali gus membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi berpusat di dalam negara.

“Di sinilah nilai dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi akan dijana,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga sedang melabur dalam infrastruktur pengangkutan bagi menyokong peralihan terbabit.

Beliau memetik projek peluasan Westports 2 yang bakal menggandakan kapasiti pelabuhan itu hampir sekali ganda, di samping rancangan pembinaan mega-pelabuhan masa depan di Pulau Carey.

Dari segi perhubungan darat pula, Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta rangkaian rel kargo yang lebih luas akan membantu melancarkan pergerakan kargo ke pelabuhan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada lebuh raya.

Kerajaan juga sedang memperluaskan kapasiti lapangan terbang dan kargo udara dengan semua rangkaian pengangkutan itu disepadukan di bawah Dasar Pengangkutan Negara yang dikemas kini.

“Aspirasi kita adalah untuk memperluaskannya merentasi darat, laut dan udara bagi menjadikan Malaysia sebagai hab logistik bertaraf dunia,” katanya.

Anwar berkata, keputusan Daiso untuk membina pusat pengedaran global terbesar mereka di Pulau Indah mencerminkan keyakinan terhadap infrastruktur serta prospek ekonomi jangka panjang Malaysia.

“Pelaburan itu akan memperkukuh keupayaan logistik tempatan menerusi kerjasama dengan syarikat Malaysia, termasuk PKT Logistics Group dan pengangkut domestik.

“Pusat terbabit juga akan memudahkan pemindahan teknologi selain menawarkan peluang pekerjaan bernilai lebih tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top