Mohd Shuhaily masih jalankan tugas KP AKPS, belum terima arahan rasmi kembali ke PDRM – Peguam

Mohd Shuhaily masih jalankan tugas KP AKPS, belum terima arahan rasmi kembali ke PDRM – Peguam

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana belum menerima sebarang surat atau arahan rasmi berhubung keputusan mengembalikannya ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang daripada peguam yang mewakilinya, Rafique Rashid Ali, berkata anak guamnya itu masih mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas seperti biasa termasuk mempengerusikan mesyuarat agensi berkenaan selagi belum menerima sebarang arahan rasmi.

“Beliau masih belum menerima sebarang arahan atau surat rasmi. Jadi, beliau menjalankan tugas kerana masih mempunyai kuasa sebagai ketua pengarah.

“Sehingga sekarang, beliau juga masih belum didapati bersalah. Jadi, beliau boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah hari ini.

Rafique berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu menjelaskan status sebenar anak guamnya susulan pengumuman beliau akan dikembalikan ke PDRM.

Katanya, keadaan semasa menimbulkan persoalan dan spekulasi dalam kalangan masyarakat apabila Mohd Shuhaily masih menjalankan tugas di AKPS meskipun keputusan berhubung penempatannya sudah diumumkan.

“Rakyat kini tertanya-tanya apabila menteri menyatakan satu perkara, tetapi apa yang berlaku menunjukkan keadaan sebaliknya.

“Jadi, Saifuddin perlu menjelaskan perkara ini kerana ia menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin mengumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily ke PDRM selepas menamatkan penempatan secara pinjaman di AKPS.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail pada 30 Oktober lalu dilaporkan berkata, proses itu perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu bagi membolehkan tempoh penempatan Mohd Shuhaily di AKPS ditamatkan lebih awal.

Beliau berkata, PDRM sedang mendapatkan nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum mengemukakan permohonan rasmi untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda.

Mohd Shuhaily yang dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai 2025 bagi tempoh dua tahun sehingga 30 Jun 2027, kembali bertugas pada 2 November lalu selepas bercuti selama seminggu.

Beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bilangan 3/2026 yang menghimpunkan pegawai kanan dan komander pintu masuk AKPS bagi membincangkan perancangan Gerak Atur 2027.

Untuk rekod, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top