SHAH ALAM – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak tindakan pihak tertentu yang didakwa menggunakan pendekatan provokatif ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, tindakan sedemikian tidak sepatutnya menjadi pendekatan dalam usaha meraih sokongan pengundi.
“Sampai begini sekali cara kamu berkempen. Dengan poster pun kamu koyak sampai nak memaki hamun. Tidak mengapalah, teruskan begini.
“Insya-ALLAH bos kamu akan boleh menang dengan cara kempen begini. Orang Melaka akan tunjukkan pada kertas undi nanti. Tahniah, ceplos,” katanya dalam hantaran pada Khamis.
Sebelum itu, Muhamad Akmal turut memuat naik pautan video memaparkan seorang lelaki yang dipercayai membuat provokasi dengan menyebut namanya sambil berulang kali melaungkan perkataan ‘ayam bangkai’.
DUN Merlimau menyaksikan persaingan satu lawan satu membabitkan Muhamad Akmal dan Ketua Wanita Amanah Melaka, Rahayu Hamzah.
Muhamad Akmal diberi kepercayaan oleh Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 3,248 undi.



