Banjir: Jalan ke Puncak Alam tidak dapat dilalui kenderaan ringan

Banjir: Jalan ke Puncak Alam tidak dapat dilalui kenderaan ringan

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Banjir sedalam kira-kira 0.6 meter menyebabkan Jalan Meru Tambahan menghala Puncak Alam tidak boleh dilalui kenderaan ringan, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.

Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Pemeriksaan komander operasi mendapati paras air di jalan berkenaan mencecah kira-kira dua kaki (0.6 meter) sehingga kenderaan ringan tidak dapat melaluinya.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashrul berkata, keadaan di lokasi berjaya dikawal pada jam 5.40 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.09 petang.

Sementara itu, beberapa gambar dan video memaparkan keadaan banjir di sekitar Puncak Alam turut tular di media sosial, khususnya menerusi platform Threads.

Antara rakaman yang dikongsikan menunjukkan air berwarna keruh mengalir deras berhampiran jalan raya, selain beberapa laluan dinaiki air ketika hujan lebat.

Satu lagi rakaman memaparkan pusaran air yang terbentuk dalam aliran banjir di kawasan yang didakwa berhampiran Palm Hillpark.

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi rakaman keadaan banjir sekitar Eco Grandeur dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam yang menunjukkan air melimpah di beberapa kawasan, termasuk berhampiran jalan raya dan kawasan kampus.

Bagaimanapun, lokasi tepat serta keadaan semasa semua kawasan yang dipaparkan dalam rakaman berkenaan belum dapat disahkan.

Dalam perkembangan berasingan, Ashrul berkata, pihaknya turut menerima laporan banjir kilat di Jalan Haji Supi, Kampung Salak, Sepang pada jam 5.37 petang.

Katanya, sembilan anggota BBP Sepang tiba di lokasi pada jam 5.59 petang dan mendapati air sudah surut.

“Anggota kemudian menjalankan pemantauan paras air di kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan terkawal.

“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 6.10 petang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top