Jumlah rumah sembelihan halal bergantung permohonan, pematuhan syarat – JAKIM

Jumlah rumah sembelihan halal bergantung permohonan, pematuhan syarat – JAKIM

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jumlah rumah sembelihan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bergantung kepada bilangan premis yang mengemukakan permohonan serta berjaya memenuhi keperluan dan standard pensijilan halal ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata Pensijilan Halal Malaysia (PHM) adalah mekanisme pengesahan yang dilaksanakan menerusi proses permohonan, semakan dan verifikasi dokumen, pengauditan serta penilaian pematuhan terhadap keperluan hukum syarak dan standard berkaitan.

“Dalam konteks rumah sembelihan, penilaian dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua aspek operasi dan keperluan PHM termasuk pematuhan terhadap hukum syarak dalam kaedah penyembelihan, kebersihan dan keselamatan, pengendalian haiwan, kemudahan premis, peralatan, pengurusan operasi serta pelaksanaan Sistem Jaminan Halal.

“JAKIM juga ingin menegaskan bahawa mana-mana premis yang tidak memiliki SPHM, tidak boleh menggunakan logo Halal Malaysia atau membuat sebarang perakuan, pernyataan atau representasi menggambarkan premis, produk atau perkhidmatan mereka sebagai sudah mendapat pengesahan halal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keputusan pengusaha rumah sembelihan untuk mendapatkan SPHM mungkin dipengaruhi beberapa pertimbangan termasuk keperluan operasi, skala perniagaan, keutamaan pengurusan dan tahap kesediaan premis.

“SPHM adalah satu bentuk pengesahan rasmi yang menilai keseluruhan aspek operasi rumah sembelihan, termasuk pematuhan hukum syarak dalam proses penyembelihan, kebersihan, pengendalian haiwan, kemudahan premis, dokumentasi serta sistem kawalan Halal.

“Keperluan ini bertujuan memastikan integriti Halal dipelihara secara menyeluruh dan konsisten,” katanya.

Sirajuddin berkata, JAKIM sentiasa membuka ruang kepada pengusaha untuk mendapatkan khidmat nasihat atau penerangan berkaitan keperluan serta tatacara permohonan SPHM bagi membantu mereka memahami dan memenuhi standard ditetapkan.

“JAKIM turut menggalakkan pengusaha rumah sembelihan agar melihat pensijilan Halal bukan sekadar keperluan pematuhan, tetapi sebagai nilai tambah kepada perniagaan yang dapat meningkatkan keyakinan pelanggan, memperkukuh reputasi premis dan membuka peluang pasaran yang lebih luas.

“Matlamat kita adalah untuk melihat lebih banyak rumah sembelihan menyertai ekosistem PHM, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan Halal negara dan memastikan pengguna mempunyai akses kepada sumber bekalan yang diyakini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan hanya empat rumah sembelihan di ibu negara memiliki SPHM yang dikeluarkan JAKIM.

Difahamkan, terdapat rumah sembelihan yang beroperasi menggunakan khidmat penyembelih bertauliah tanpa memohon pensijilan SPHM daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Jumlah empat rumah sembelihan berstatus halal di Kuala Lumpur itu adalah kedua terendah selepas Perlis, berbanding keseluruhan 221 premis sembelihan yang memiliki status halal di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top