PRN Melaka: Harapan Ab Rauf pembakar semangat calon BN Rembia

PRN Melaka: Harapan Ab Rauf pembakar semangat calon BN Rembia

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Harapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia antara kerusi yang menyumbang kepada kemenangan parti itu menjadi pembakar semangat kepada calonnya, Ahmad Norazril Abdul Aziz untuk memberikan yang terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahmad Norazril berkata, harapan itu tidak dianggap sebagai tekanan, sebaliknya menjadi dorongan kepada dirinya dan jentera parti untuk memastikan kemenangan BN di kerusi berkenaan.

“Tiada (tekanan). Ia bukan membabitkan tekanan, tapi satu semangat apabila Pengerusi BN Melaka (Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh) sendiri hadir memberikan semangat kepada calon dan juga kepada jentera-jentera yang ada.

“Dengan gerak kerja jentera yang ada, kita tentunya fokus untuk mengeluarkan pengundi dan meyakinkan mereka untuk mengundi Barisan Nasional pada 14 hari bulan nanti,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Ab Rauf ke DUN Rembia, di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan kempen, beliau berkata, perjalanan kempen setakat ini berjalan lancar dengan penerimaan positif daripada pengundi serta penyokong BN, selain tiada isu kritikal berkaitan infrastruktur dibangkitkan.

“DUN Rembia ini kawasan bandar. Jadi, ada sedikit perkara berkaitan pembangunan yang perlu diperbaiki atau dibaiki semula.

“Begitu juga longkang dan jalan, ada yang rosak. Itu perkara biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Norazril turut memperkenalkan manifesto berteraskan konsep Keluarga Rembia, Semarak Rembia Keluarga Kita.

“Manifesto ini memberi tumpuan kepada lima teras utama termasuk kebajikan, sosial, keselamatan, kerohanian dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top