am@hmetro.com.my
Tangga Batu: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mencuri wang rakyat dan tidak akan berundur daripada usaha memerangi rasuah serta penyelewengan, meskipun berdepan kritikan pihak tertentu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perdana Menteri berkata, beliau memahami ada pihak yang tidak menyukainya dan mahu menjatuhkannya, namun perkara itu tidak akan menghalangnya daripada terus membanteras amalan penyelewengan.
“Apa pun orang boleh hentam saya, saya terima. Tapi saya tak curi duit rakyat.
“Saya faham banyak orang tak suka saya. Saya faham banyak mahu jatuhkan saya. Sebab apa? Sebab kita keras lawan orang yang sakau,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana ‘Melaka Rumah Kita’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini, malam ini.
Hadir sama Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim; Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari; calon PH bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin dan calon PH bagi DUN Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau mendengar ceramah kempen sebuah parti yang menafikan dakwaan berhubung penyelewengan wang negara sebelum membangkitkan beberapa isu kewangan terdahulu.
“Semalam saya dengar kempen. Ini kempen parti kawan kita. Dia cakap mana ada sakau ni.
“Ini sakau-sakau. Mana ada sakau? Ini saya cerita, RM9 bilion hilang. Ini RM10 bilion. Mana ada sakau?” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam rasuah atau penyelewengan perlu berasaskan bukti dan melalui proses undang-undang, bukannya tuduhan semata-mata.
Katanya, siasatan menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pendakwaan dikendalikan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum sesuatu kes diputuskan mahkamah.
“Kalau ada bukti dia curi, mesti kenakan. Bukan tuduh orang ini rasuah, orang ini curi.
“Dia kena siasat, kena ada bukti. Jangan syok sendiri. Hari-hari orang salah, orang salah. Kamu apa? Kamu hakim kah? Kamu polis kah?” katanya.
Anwar turut membangkitkan isu kewangan negara membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan FELDA yang menurutnya memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan.
Katanya, kerajaan perlu menanggung pembayaran hampir RM1 bilion setahun bagi FELDA, selain membangkitkan kerugian RM10 bilion yang dikaitkannya dengan TH.
“Bayang kalau tak tipu, saya boleh bagi RM1 bilion setiap tahun kepada FELDA. Orang-orang senang hidup. Sekarang saya mesti cari duit,” katanya.
Beliau turut membangkitkan projek bernilai RM9 bilion yang menurutnya dibiayai melalui pinjaman daripada Exim Bank China pada 2016, namun sebahagian dana berkenaan didakwa tidak menghasilkan projek seperti dirancang.
Katanya, kerajaan mengadakan rundingan bagi mendapatkan semula sebahagian dana itu sebelum menggunakannya untuk projek bekalan air dari Sungai Perak hingga Pulau Pinang.
“Dia boleh bagi RM5 bilion balik. Saya buat projek bekalan air Sungai Perak sampai Pulau Pinang.
“Jadi seluruh Perak sampai seluruh Pulau Pinang ada air. Wang yang dulu hilang masa 2016, siapa ambil balik?” katanya.
Beliau berkata, usaha membanteras penyelewengan penting bagi memastikan wang negara dapat dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan bukannya disalahgunakan pihak tertentu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



