am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Orang ramai khususnya penduduk di daerah Klang diingatkan supaya berwaspada dan bersedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama lima hari bermula Sabtu ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang dalam hebahan memaklumkan, fenomena itu dijangka berlaku dari 7 hingga 11 November ini, dengan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah sehingga 5.2 meter.
Menurut jawatankuasa itu, bacaan tertinggi berkenaan dijangka dicatatkan pada jam 5.02 pagi Ahad, sekali gus berada dalam kategori paras amaran.
Berdasarkan petunjuk paras air di Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter sebagai paras bahaya.
Paras air laut dijangka mencecah 5.1 meter pada jam 4.23 pagi Sabtu, sebelum meningkat kepada 5.2 meter pada jam 5.02 pagi Ahad.
Bacaan kemudian diramalkan mencapai 5.1 meter pada jam 5.37 pagi Isnin dan jam 6.08 pagi Selasa, sebelum mencatatkan 5.0 meter pada jam 6.37 pagi Rabu.
Sementara itu, bacaan air pasang sebelah petang dijangka antara 4.0 hingga 4.8 meter sepanjang tempoh berkenaan, dengan waktu ramalan antara jam 4.53 petang Sabtu hingga 7.02 malam Rabu.
Ramalan cuaca turut menunjukkan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat pada sebelah petang Sabtu dan Ahad, diikuti hujan di beberapa tempat pada waktu malam.
Bagi Isnin hingga Rabu, ribut petir diramalkan berlaku di kebanyakan tempat pada sebelah petang, manakala hujan dijangka melanda kebanyakan tempat pada waktu malam.
Sehubungan itu, orang ramai diminta membuat persediaan dan sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran sepanjang fenomena air pasang besar itu.
Ramalan paras air laut dan cuaca berkenaan berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia serta Pusat Hidrografi Nasional.
Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah Klang di 03-3382 9292 sekiranya berlaku kecemasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




