Parlimen: Nile Tech tidak diberikan akses data pengguna MyJPJ – Loke

Parlimen: Nile Tech tidak diberikan akses data pengguna MyJPJ – Loke

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nile Tech Sdn Bhd (Nile Tech) tidak diberikan akses kepada pangkalan data portal MyJPJ melalui pautan dan tiada maklumat profil pengguna dihantar secara automatik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, paparan perkhidmatan insurans dalam MyJPJ adalah dalam bentuk pautan sahaja.

“Apabila pautan itu dipilih, pengguna akan dibawa keluar daripada aplikasi MyJPJ ke portal Nile Tech. Semua urusan dan transaksi pembaharuan insurans dilaksanakan di portal itu.

“Pautan ini tidak membabitkan integrasi sistem atau penghantaran data peribadi daripada MyJPJ kepada portal insurans itu.

“Tiada maklumat profil pengguna dihantar secara automatik dan Nile Tech tidak diberikan akses kepada pangkalan data MyJPJ melalui pautan berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai proses dan justifikasi kerajaan membenarkan Nile Tech Sdn Bhd menawarkan atau mempromosi perkhidmatan insurans melalui aplikasi MyJPJ.

Sebelum ini, Mohamad Zulkifly mempersoalkan mengenai kewujudan perkhidmatan insurans pihak ketiga, Nile Tech Sdn Bhd dalam aplikasi MyJPJ.

Beliau memaklumkan isu itu timbul daripada kebimbangan rakyat mengenai keselamatan data peribadi serta ketelusan akses kepada platform kerajaan.

Loke berkata, jika pengguna memilih untuk meneruskan urusan di portal Nile Tech, maklumat yang dimasukkan sendiri oleh pengguna tertakluk kepada terma, syarat dan dasar privasi portal itu.

“Oleh itu, penyediaan pautan ini tidak dengan sendirinya memberikan pihak ketiga akses kepada data peribadi yang disimpan dalam MyJPJ,” katanya.

Beliau menjelaskan Nile Tech Sdn Bhd dilantik sebagai penyedia platform bagi menawarkan saluran alternatif untuk pembaharuan insurans kenderaan kepada pengguna MyJPJ.

“Ia bertujuan memudahkan urusan pengguna secara dalam talian dan mengurangkan keperluan berurusan di kaunter fizikal.

“Pelantikan ini dilaksanakan melalui proses ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu tidak diberikan hak eksklusif untuk menyediakan perkhidmatan terbabit dan pelaksanaannya tidak membabitkan kos kepada kerajaan.

“Selain menyediakan platform pembaharuan insurans, Nile Tech turut dilantik sebagai ejen pemungut kerajaan bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), lesen memandu dan pembayaran saman melalui Sistem e-Renewal.

“Pelantikan sebagai ejen pemungut ini tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan yang memperuntukkan kelulusan Kementerian Kewangan. Perjanjian itu ditandatangani pada 24 Julai lalu untuk tempoh dua tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top