Perselisihan tapak niaga berakhir dengan ugutan pisau, penjual pisang goreng ditahan

Perselisihan tapak niaga berakhir dengan ugutan pisau, penjual pisang goreng ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perselisihan faham berkaitan perniagaan bertukar tegang apabila seorang lelaki dipercayai ditampar dan diugut menggunakan pisau dalam kejadian di Bandar Tasik Selatan, di sini, kira-kira jam 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata kejadian berlaku di tepi jalan, di hadapan sebuah residensi di Jalan Tasik Selatan 21.

Katanya, suspek lelaki berusia 38 tahun ditahan lewat petang tadi di sebuah gerai pisang goreng tempatnya berniaga oleh pasukan petugas Balai Polis Sungai Besi.

“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan mangsa dan saksi serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran di platform Threads tular selepas seorang pengguna mendakwa hampir ditikam menggunakan pisau ketika berlaku pertikaian berkaitan perniagaan tauhu rangup.

Pengguna berkenaan turut mendakwa perselisihan faham itu berpunca daripada isu tapak perniagaan dan saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, dakwaan terperinci dalam hantaran berkenaan belum disahkan pihak polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top