Shah Alam berisiko terus dilanda banjir besar tanpa laluan air alternatif

Shah Alam berisiko terus dilanda banjir besar tanpa laluan air alternatif

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Shah Alam berisiko terus berdepan banjir besar sekiranya kerajaan tidak menyediakan laluan alternatif bagi pengaliran air selain sungai sedia ada, kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Beliau berkata, risiko kejadian banjir dijangka meningkat pada masa hadapan berikutan pembangunan pesat di kawasan sekitar serta kedudukan Shah Alam yang lebih rendah berbanding kawasan berhampiran.

Katanya, kajian terperinci projek tebatan banjir Canal City yang pernah dirancangnya mendapati projek itu berupaya menampung ratusan ribu liter air dan mengelakkan Shah Alam daripada bencana banjir besar untuk tempoh 100 tahun.

Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan terusan sepanjang 18 kilometer (km) yang menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat.

Terusan itu, katanya turut dirancang menggunakan dua tasik bekas lombong masing-masing di Shah Alam dan Kuala Langat sebagai kawasan imbangan paras air sebelum air yang terkumpul dialirkan ke laut apabila paras air laut surut.

“Di samping itu, di kawasan sekitar terusan berkenaan, kita bina kawasan kediaman berkonsep rumah yang dikelilingi sungai atau terusan kecil.

“Malangnya, projek itu sudah dibatalkan dan lebih malang lagi tanahnya dijual kepada pihak pemaju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khir Toyo berkata, Shah Alam adalah kawasan lembah yang lebih rendah berbanding kawasan sekitarnya seperti Sungai Buloh, Rawang dan Petaling Jaya.

“Banjir besar berisiko berlaku apabila hujan lebat serentak air laut pasang besar.

“Paras air laut lebih tinggi berbanding paras air sungai menyebabkan air hujan yang memenuhi sungai tidak dapat mengalir keluar ke laut.

“Keadaan itu menyebabkan air terkumpul dan bertakung di kawasan rendah seperti Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan pesat di Kuala Selangor, Sungai Buloh, Rawang dan Petaling Jaya turut menyebabkan air mengalir ke kawasan rendah di Shah Alam, khususnya Kampung Melayu Subang, Batu Tiga dan Sri Muda.

“Selagi kerajaan tidak menyediakan saluran keluar untuk air hujan seperti kolam takungan atau sungai takungan yang mampu menyimpan beratus juta liter air, sementara menunggu paras air laut surut, Shah Alam berisiko berdepan banjir besar walaupun kawasan itu tidak mengalami hujan lebat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top