am@hmetro.com.my
Melaka: Penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak memecahkan undi dengan memberikan sokongan kepada parti baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kerana tindakan itu boleh memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerjasama BN dan PN di Melaka memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan, sekali gus menyukarkan usaha PH untuk berdepan mereka dalam pilihan raya kali ini.
“Paling penting jangan pecah undi. Hendak kalahkan BN dan PN tidak mudah. Sekarang ada banyak kawasan yang mempunyai tiga atau empat penjuru.
“Ada juga parti baharu… kita perlu tahu jika kita memberi undi kepada parti baharu ini, ia akan hanya memecahkan undi kerana mereka tidak boleh menang.
“Namun jika ini dilakukan, ia akan memberi kemenangan kepada BN dan PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Harapan, di sini.
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.
Pada masa sama, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, penyatuan kekuatan BN dan PN sememangnya memberikan kelebihan kepada kedua-dua gabungan itu di Melaka.
“Kita tahu sekarang punya senario tidak mudah untuk kita dan PH. BN sedang bergabung dengan PN. Mereka hendak menyatukan kekuatan dan sudah tentu mereka mempunyai kelebihan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengundi di Melaka tidak boleh membiarkan keadaan itu berterusan sehingga gabungan berkenaan menjadi terlalu berkuasa dan terlalu kuat.
DAP meletakkan calon di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk empat kerusi yang disandangnya sebelum ini, iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan PH mempertaruhkan calon di 24 kerusi, BN (23 calon), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), BERSATU (tujuh), PN (lima), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) seorang calon dan calon Bebas (tiga).
© New Straits Times Press (M) Bhd



