Kaedah IBS ada kelebihan tetapi tidak menyeluruh digunakan

Kaedah IBS ada kelebihan tetapi tidak menyeluruh digunakan

Mahaizura Abd Malik

mahaizura@mediaprima.com.my

SELEPAS hampir enam dekad sejak penggunaan awal teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negara ini, kaedah pembinaan itu masih belum menjadi arus perdana berikutan pelbagai kekangan termasuk kos pelaburan tinggi, kekurangan tenaga mahir dan kesiapsiagaan industri untuk beralih daripada kaedah konvensional.

Meskipun teknologi itu menawarkan kelebihan dari segi produktiviti, tempoh pembinaan dan pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja, pelaksanaannya memerlukan perubahan menyeluruh terhadap cara projek dirancang, komponen dihasilkan serta kerja pembinaan dilaksanakan.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sr Ahmad Farrin Mokhtar berkata, cabaran terbesar dalam memperluaskan penggunaan IBS bukan lagi berkaitan teknologi semata-mata, namun lebih kepada kesiapsiagaan keseluruhan ekosistem industri pembinaan.

“IBS memerlukan penyelarasan rapat antara perancangan, reka bentuk, pembuatan, logistik, pemasangan dan pengurusan projek.

“Jika mana-mana bahagian dalam rantaian nilai ini belum cukup bersedia, manfaat IBS menjadi lebih sukar untuk dicapai.

“Antara halangan utama ialah kesukaran menyesuaikan reka bentuk konvensional kepada reka bentuk yang sesuai untuk IBS serta tahap penyeragaman komponen IBS yang perlu diperkukuhkan,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Farrin berkata, cabaran turut membabitkan kaedah pengukuran dan tuntutan bayaran bagi komponen IBS yang dihasilkan di luar tapak pembinaan, apabila tuntutan hanya boleh dibuat selepas komponen berkenaan tiba di tapak.

“Keadaan ini boleh memberi implikasi kepada aliran tunai dan pengurusan kos kontraktor sepanjang tempoh pengeluaran komponen IBS.

“Selain itu, kos permulaan tinggi khususnya pelaburan dalam loji dan acuan IBS serta pembabitan pengilang yang tidak mencukupi pada peringkat awal reka bentuk juga menjadi faktor mempengaruhi keputusan pemain industri untuk beralih daripada kaedah pembinaan konvensional.

“Pada masa sama, ada juga jurang kemahiran dalam aspek reka bentuk, pemasangan dan pengurusan kualiti serta cabaran logistik terutama bagi projek di kawasan lebih jauh seperti Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 143 syarikat pembuatan IBS memperoleh pensijilan CIS 24:2023 sehingga Jun 2026 yang menunjukkan komitmen industri terhadap kualiti, pematuhan dan pengeluaran IBS lebih standard.

“CIDB terus memperkukuh penggunaan IBS melalui pelaksanaan IBS Score, program penilaian dan pensijilan, pembangunan vendor tempatan, latihan teknikal serta sokongan penggunaan teknologi dan automasi.

“Usaha memperluaskan IBS juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan melalui satu intervensi sahaja. Industri perlu memperkukuh keseluruhan ekosistem IBS termasuk kapasiti pengilang tempatan, standard komponen dan reka bentuk, kemahiran tenaga kerja, logistik, persijilan dan keyakinan terhadap produk IBS.

“Usaha ini juga perlu bergerak seiring dengan agenda Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) dalam memacu transformasi industri pembinaan ke arah sektor yang lebih produktif, berteknologi, mampan dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah (Menjalankan Tugas) Institut Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovatif (ISIIC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Izni Syahrizal Ibrahim berkata, IBS bukan teknologi baharu di Malaysia kerana penggunaan komponen konkrit pratuang, antara kaedah dalam sistem berkenaan sebenarnya sudah diperkenalkan seawal 1966.

Ia menerusi projek perumahan awam seperti Apartmen Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur dan Rifle Range Road Flats di Pulau Pinang.

Menurutnya, kaedah konvensional masih popular kerana lebih fleksibel, mudah diubah mengikut keadaan tapak serta mempunyai rantaian bekalan dan tenaga kerja yang sudah lama terbentuk selain kontraktor lebih biasa dengan proses berkenaan.

“Masalah IBS bukan kerana teknologinya tidak baik. Cabaran sebenar ialah perubahan model perniagaan, budaya kerja dan cara projek dirancang serta dilaksanakan.

“IBS memerlukan perancangan lebih awal kerana reka bentuk, koordinasi struktur dan seni bina, pengeluaran komponen, pengangkutan, penyimpanan serta pemasangan perlu diselaraskan dengan baik kerana kesilapan pada peringkat reka bentuk boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan rantaian pengeluaran,” katanya.

Izni Syahrizal berkata, pelaburan dalam IBS juga memerlukan jumlah projek mencukupi bagi membolehkan kos penyediaan acuan, kemudahan pengeluaran, peralatan mengangkat dan sistem pengangkutan dipulangkan dalam tempoh yang munasabah.

Katanya, IBS bukan pendekatan sesuai secara seragam bagi semua projek kerana kelebihan ekonominya lebih ketara dalam pembangunan berskala besar dan berulang seperti perumahan bertingkat, rumah mampu milik, asrama serta hotel.

“Namun, ini tidak bermaksud projek kecil tidak boleh menggunakan IBS. Sistem ini boleh digunakan secara hibrid iaitu hanya komponen tertentu seperti tangga, panel dinding, rasuk dan lantai menggunakan IBS manakala bahagian lain menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

Izni Syahrizal berkata, kelebihan IBS juga tidak sepatutnya dinilai berdasarkan harga sesuatu komponen semata-mata sebaliknya mengambil kira keseluruhan kos projek termasuk pengurangan tenaga kerja, pembaziran bahan binaan, tempoh pembinaan dan risiko kelewatan akibat cuaca.

“IBS tidak semestinya mempunyai harga komponen lebih rendah. Kelebihannya lebih ketara apabila kita melihat keseluruhan kos projek dan produktiviti termasuk potensi pengurangan kos pembiayaan akibat tempoh pembinaan yang lebih pendek.

“Permintaan pasaran konsisten turut penting kerana industri sukar membuat pelaburan besar dalam kilang dan automasi sekiranya projek IBS tidak berterusan, justeru pembangunan perumahan berskala besar dengan mengambil kira kelestarian pembangunan berpotensi,” katanya.

Katanya, IBS tidak seharusnya dilihat sekadar alternatif kepada pembinaan konvensional sebaliknya sebagai evolusi industri ke arah kaedah pembinaan lebih produktif, digital dan berskala sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada pemaju dan kontraktor, malah pekerja, alam sekitar serta pemilik rumah melalui pembinaan lebih cepat, berkualiti dan berdaya saing dari segi kos.

“Bagi memastikan IBS menjadi kaedah pembinaan utama pada masa depan, industri perlu memperkukuh penyeragaman reka bentuk, rantaian bekalan dan kemahiran tenaga kerja selain mengintegrasikan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), automasi serta pembinaan modular dalam keseluruhan proses pembinaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top