Hampir sedekad memperlahankan langkah dalam dunia nyanyian, penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mengakui kemunculan semulanya menerusi Gegar Vaganza Fantasia (GVF) bukan sahaja mengundang keterujaan, malah menuntut persediaan fizikal dan mental yang rapi.
Biarpun pernah bergelar juara Akademi Fantasia (AF), Mila tidak menafikan berasa gementar untuk kembali beraksi di pentas pertandingan nyanyian, apatah lagi selepas sekian lama memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan.
Menurut Mila, sokongan peminat lama menjadi antara faktor utama yang mendorongnya menerima tawaran menyertai GV, sekali gus mengubat kerinduan untuk kembali aktif dalam industri muzik.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Ramai peminat lama mula menghubungi saya menerusi mesej peribadi di media sosial. Sejujurnya, kelab peminat saya pun boleh dikatakan sudah tidak aktif kerana hampir 10 tahun saya seperti ‘duduk dalam gua’.
“Jadi, apabila mereka kembali menghubungi saya, kami mula bercakap tentang usaha mengaktifkan semula kelab peminat. Rasanya seperti kembali ke zaman dahulu, terasa muda semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Mila mengakui faktor usia dan perubahan fizikal selepas melahirkan anak menjadi pendorong untuk dirinya mengikuti latihan kardio bagi meningkatkan stamina dan memastikan kemampuan vokalnya berada pada tahap terbaik.
“Perkara paling utama yang saya fikirkan ialah stamina. Kalau dahulu, ketika berada di pentas Akademi Fantasia, usia kami baru sekitar 19 atau 20 tahun. Sekarang, masing-masing sudah menghampiri usia 40-an.
“Alhamdulillah, hampir dua bulan saya mengikuti pelbagai kelas kecergasan, termasuk kelas tinju untuk meningkatkan semula stamina.
“Sebagai seorang ibu yang pernah melahirkan anak, kita perlu akui keadaan badan sudah berubah. Sebelum mengikuti kelas tinju, saya sendiri perasan lebih cepat penat apabila menyanyi.
“Jadi, latihan seperti itu memang banyak membantu. Selain itu, saya juga rajin melakukan latihan kardio di rumah,” kongsinya.
Sedia jadi ‘gelas kosong’
Sementara itu, penyanyi lagu Persis Mutiara itu menegaskan dirinya tidak gentar menerima kritikan daripada barisan juri GVF meskipun sudah lama tidak melalui proses penjurian dalam pertandingan nyanyian.
Tambah Mila, pengalaman menyertai AF sebelum ini banyak mendidiknya supaya lebih terbuka menerima teguran dan menjadikan setiap komen sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan.
“Mungkin kerana saya sendiri dilahirkan menerusi program realiti Akademi Fantasia, jadi saya sudah biasa dengan situasi selepas menyanyi, kita perlu mendengar komen juri.
“Setiap komen itu perlu dihadam dan dijadikan panduan untuk memperbaiki kelemahan menerusi latihan. Jadi, saya tidaklah terlalu takut untuk berdepan dengan penjurian,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mila menyedari cabaran kali ini sedikit berbeza apabila penilaian turut melibatkan ’juri luar’ atau netizen yang mempunyai pandangan dan perspektif tersendiri.
“Kali ini ada cabaran tambahan apabila kita turut berdepan dengan penilaian juri luar. Jadi, kita perlu menyediakan mental dan fizikal sebaik mungkin.
“Saya percaya setiap orang mempunyai pandangan berbeza dan tidak semestinya semua orang akan bersetuju dengan persembahan kita. Apa yang saya mahu lakukan adalah menikmati setiap detik ketika berada di atas pentas.
“Apa sahaja komen yang diberikan juri, saya akan menjadi seperti ‘gelas kosong’, bersedia menerima teguran, menyerap segala ilmu dan melakukan yang terbaik,” ujarnya.



