Kastam bongkar taktik bungkus semula rokok tamat tempoh

Kastam bongkar taktik bungkus semula rokok tamat tempoh

am@hmetro.com.my

Seremban: Jabatan Kastam Diraja menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi dua serbuan yang dijalankan hujung bulan lalu membabitkan nilai rampasan dan duti mencecah RM2.56 juta.

Pengarahnya, Jamal Paiman berkata, dalam operasi di dua lokasi berasingan itu, pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras, barangan elektrik serta sebuah mesin pembungkusan dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM359,271.

“Pada serbuan pertama kira-kira jam 3 petang 26 Oktober lalu, anggota daripada Cawangan Operasi menahan dan memeriksa sebuah van di lorong belakang bangunan kedai di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 10,000 peket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai sitaan rokok dan van dianggarkan sebanyak RM36,000 manakala duti atau cukai yang terbabit dianggarkan sebanyak RM138,000.

“Seorang lelaki warga tempatan yang juga pemandu van berusia 42 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket dipercayai menyeludup masuk rokok ke dalam negara tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah.

“Barang seludup ini seterusnya diedarkan menggunakan kenderaan jenis van untuk dijual di pasaran tempatan pada harga yang lebih murah berbanding rokok yang sah,” katanya.

Jamal berkata, kira-kira jam 4 petang hari sama, Unit Operasi melakukan satu lagi pemeriksaan di sebuah premis di kawasan Taman Sejahtera.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menjumpai sebanyak 1,370 botol bersamaan 498.64 liter minuman keras pelbagai jenama dan 4,824 tin bersamaan 2,412 liter bir pelbagai jenama.

“Turut ditemui adalah 244 kotak mengandungi 141,560 peket bersamaan 2,808,200 batang rokok pelbagai jenama, serta 221 unit barangan elektrik pelbagai jenis yang disyaki barang larangan import di bawah Perintah Kastam.

“Pasukan operasi turut menjumpai sebuah mesin pembungkusan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan semula rokok,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM323,271.28, manakala cukai yang terbabit dianggarkan sebanyak RM2,066,512.

Mengulas mengenai modus operandi, katanya, sindiket dipercayai melabel dan membungkus semula rokok yang tamat tempoh bagi mengaburi status sebenar produk itu sebelum diedarkan kepada pasaran tempatan.

“Sindiket dipercayai menjual rokok berkenaan pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran bagi menarik permintaan pengguna serta memperoleh keuntungan secara tidak sah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Pihak kami sedang menjalankan siasatan berhubung kaitan kedua-dua serbuan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top