Selvan, Haziq taruhan masa depan Harimau Malaya

Selvan, Haziq taruhan masa depan Harimau Malaya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua pemain muda yang dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilihat sebagai satu langkah berani bagi memberikan pendedahan lebih baik kepada skuad senior dalam aksi persahabatan antarabangsa berstatus Tier 1.

Bagi jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin melihat kehadiran A Selvan dan Haziq Kutty Abba mampu membantu mereka meningkatkan corak permainan ke tahap lebih baik, sekali gus membuktikan potensi sebenar apabila beraksi menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre.

Katanya, Selvan memiliki kepantasan, keberanian melakukan gerakan satu lawan satu dan mampu memberikan pilihan tambahan dalam jentera serangan, manakala Haziq pula mempunyai disiplin tinggi, tenang menguasai bola serta memahami keperluan taktikal pasukan.

“Bagi saya, memanggil pemain muda bukan risiko, tetapi pelaburan untuk masa depan Harimau Malaya. Inilah masa terbaik untuk mendedahkan mereka di pentas antarabangsa sebelum kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seterusnya pada Mac depan,” katanya.

Untuk makluman, ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi persahabatan kali ini membolehkan Cheng Hoe memberi peluang buat pertama kali kepada Selvan yang mewakili Selangor dan Haziq (Terengganu) selepas mereka beraksi cemerlang bersama kelab masing-masing sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Sulaiman turut melihat skuad kendalian Tan mempunyai asas kukuh menerusi gabungan pemain berpengalaman seperti Dion Cools, Safawi Rasid dan Paulo Josue yang mampu membimbing pasukan, terutama pemain muda.

Selain itu, pengarah teknikal Kuching City FC itu melihat keputusan mengekalkan teras 11 pemain daripada skuad yang meraih tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia bulan lalu juga mampu membantu mengekalkan keserasian dan momentum pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top