PM Anwar hormati keputusan UMNO bayar denda Najib, tapi kekal prinsip tolak rasuah!

PM Anwar hormati keputusan UMNO bayar denda Najib, tapi kekal prinsip tolak rasuah!

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian peribadinya yang tidak bersetuju dengan keputusan UMNO membayar denda RM50 juta membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan Buletin TV3, bagaimanapun, beliau menghormati keputusan parti itu kerana tindakan berkenaan merupakan hak UMNO, selain menegaskan setiap proses undang-undang dan keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati mengikut prinsip Perlembagaan.

Anwar berkata, hubungan persahabatan dengan Najib tidak seharusnya menyebabkan masyarakat menganggap kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh dipandang ringan.

“Dari pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana sementara kita ada semangat persahabatan dengan Datuk Seri Najib, tapi itu tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion Ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas Ampang sebentar tadi.

Foto: Buletin TV3

Menurutnya, ketegasan dalam menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga penting bagi membentuk pemikiran generasi muda supaya memahami kepentingan integriti.

“Apa yang kita nak didik pada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan kekal menghormati proses perundangan dan prinsip Perlembagaan, termasuk perkara berkaitan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau sekali lagi menjelaskan bahawa keputusan untuk menjelaskan denda berkenaan adalah hak UMNO, meskipun beliau mempunyai pandangan peribadi yang berbeza.

Terdahulu, UMNO mengesahkan semua proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah diselesaikan pagi tadi sebagai syarat untuk membolehkan Najib menjalani tahanan di rumah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Presiden UMNO itu sudah mencapai sasaran dan mencukupi.

Sumber: Buletin TV3 (Farah Nabilah Wazer)

Scroll to Top