Sindiket dadah kuasai Flat San Peng tumpas

Sindiket dadah kuasai Flat San Peng tumpas

Kuala Lumpur: Polis percaya berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan didalangi kumpulan kongsi gelap dalam operasi bermula Rabu hingga pagi tadi di sekitar Flat San Peng di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam operasi berkenaan sebanyak 143 individu ditahan hasil 91 serbuan yang dilaksanakan.

“Operasi dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan yang mengenal pasti Flat San Peng sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti penagihan serta pengedaran dadah didalangi kongsi gelap 08,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata operasi disertai 36 pegawai kanan polis dan 210 anggota itu bertujuan membanteras pengedar dadah berskala kecil yang aktif di kawasan itu sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Hussein berkata tiga sindiket itu dikenal pasti sebagai pembekal utama bekalan dadah ke kawasan flat berkenaan dan kawasan sekitar.

“Sebanyak 71 kes direkodkan membabitkan 143 tangkapan termasuk tiga ketua sindiket berkenaan.

“Daripada jumlah tangkapan itu, 127 adalah lelaki manakala 16 perempuan, terdiri daripada 115 warga tempatan dan 28 warga asing. Saringan air kencing mendapati 107 daripadanya positif dadah,” katanya.

Hussein berkata polis turut merampas 151.6 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM7.7 juta yang mampu digunakan kira-kira 505,000 individu.

Beliau berkata kejayaan operasi itu membuktikan komitmen JSJN dalam membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah secara menyeluruh, termasuk memutuskan rantaian bekalan serta melumpuhkan sindiket utama yang menjadi dalang kegiatan berkenaan.

Hussein meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah menghubungi Hotline JSJN melalui talian 012-208 7222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top