PRN Melaka: Serangan bertubi-tubi gagal gugat semangat calon MCA – Ka Siong

PRN Melaka: Serangan bertubi-tubi gagal gugat semangat calon MCA – Ka Siong

MELAKA – Walaupun berdepan serangan bertubi-tubi sepanjang tempoh berkempen, empat calon MCA yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat mampu menyerap tekanan dan terus meyakinkan pengundi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi kesemua calon, khususnya dua penyandang yang mempunyai pengalaman serta rekod perkhidmatan yang baik di kawasan masing-masing.

“Mereka berdepan cabaran yang sangat sengit, namun nampaknya mampu bertahan, mempunyai stamina dan telah lama berkhidmat di kawasan masing-masing.

“Kehadiran mereka bukan sekadar bidan terjun. Walaupun menerima serangan bertubi-tubi, mereka mampu menyerap tekanan dan memberikan penjelasan berdasarkan keyakinan rakyat terhadap mereka,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Manifesto BN-PN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi empat calon MCA sepanjang kempen PRN Melaka.

Ka Siong berkata, selain dua penyandang yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, beliau turut memuji kemampuan dua calon baharu yang berjaya membentuk pasukan jentera dalam tempoh singkat meskipun diketengahkan pada saat akhir sebelum hari penamaan calon.

Menurutnya, kedua-dua calon tersebut berjaya menghimpunkan pasukan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum memulakan gerak kerja menemui pengundi pada hari berikutnya.

“Mereka dianggap muka baharu dan diberikan mandat untuk bertanding pada saat akhir. Namun, saya melihat mereka sudah mula menyantuni rakyat serta menyampaikan hasrat dan tawaran kepada pengundi.

“Isu yang dibangkitkan juga relevan dengan kawasan masing-masing dan mereka mahu menjadi wakil rakyat yang benar-benar memahami kehendak masyarakat dari peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ka Siong mengingatkan pengundi supaya menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian kerana setiap undi mempunyai nilai penting dalam menentukan wakil rakyat yang bakal dipilih.

Katanya, jumlah pengundi sesuatu kaum yang kecil di sesebuah kawasan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak keluar mengundi kerana perbezaan beberapa ratus undi mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Beliau turut berharap masyarakat Cina dan kaum lain membuat pilihan berdasarkan komitmen serta kemampuan calon dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, bukannya dipengaruhi kekecewaan terhadap mana-mana parti pada pilihan raya lalu.

Scroll to Top