Denda sudah dibayar, mengapa pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguh? – Asyraf Wajdi

Denda sudah dibayar, mengapa pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguh? – Asyraf Wajdi

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati Titah dan Kuasa Pengampunan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan serta tidak mencabar perundangan negara.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong menerusi Lembaga Pengampunan sudah pun membuat keputusan dan menetapkan syarat yang sudah dipenuhi sepenuhnya.

​”Tuanku menerusi Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan dan menitahkan syarat-syarat yang sudah dipenuhi.

​”Apa keperluan untuk menangguhkan lagi pelaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan?” katanya dalam kenyataan menerusi platform Facebooknya, malam ini.

Asyraf Wajdi turut memberi amaran sebarang percubaan atau usaha untuk melengahkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk pelanggaran prinsip Perlembagaan.

​”Segala usaha untuk menangguhkan pelaksanaan Titah Yang di-Pertuan Agong dan Keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk penderhakaan dan pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

​Kenyataan beliau itu turut memaparkan siaran media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64.

​Mesyuarat terbabit sebelum ini, memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dengan syarat denda RM50,000,000 dilunaskan.

​Dalam kenyataan itu, JPM turut menegaskan sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan gagal dipatuhi, pengampunan bersyarat ini akan terbatal secara serta-merta dan beliau dikehendaki meneruskan baki hukuman di dalam penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top