Kuala Lumpur: Sebanyak 301 ekor ayam dirampas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Kepak di sekitar Pasar Pudu, di sini, Khamis lalu.
Operasi itu dilaksanakan susulan aduan tular berhubung aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di kawasan berkenaan.
DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pemeriksaan mendapati dua premis yang dikenal pasti sudah ditutup dan tidak beroperasi ketika pemeriksaan dijalankan.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati bakul berisi ayam diletakkan di kawasan siar kaki, jalan raya dan tempat awam.
“DBKL akan terus mempergiat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kebersihan, keselamatan serta ketenteraman kawasan awam di Kuala Lumpur sentiasa terpelihara demi kesejahteraan warga kota,” menurut hantaran itu seperti dilapor Buletin TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd




