Kuching City seru sokongan padu pemain ke-12

Kuching City seru sokongan padu pemain ke-12

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Pengerusi Eksekutif Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada ketua jurulatih untuk merencanakan strategi terbaik menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC.

Beliau menegaskan urusan taktikal dan persiapan pasukan harus ditentukan sepenuhnya oleh Aidil Sharin Sahak yang lebih mengetahui pendekatan sesuai bagi menghadapi cabaran skuad Gergasi Merah.

“Saya serahkan kepada ketua jurulatih kerana beliau lebih tahu bagaimana untuk menghadapi Selangor.

“Kita ada kepercayaan penuh kepada beliau dan saya yakin kita boleh membuat kejutan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Santai Belia PBB Petra Jaya, hari ini.

Mengakui misi kebangkitan itu bukan tugas mudah, Fazzrudin berkata Kuching City perlu sekurang-kurangnya menjaringkan dua gol bagi menghidupkan peluang untuk mara ke final selepas Selangor mempunyai kelebihan 2-1.

The Cats katanya mampu mencipta kejutan sekali gus mengulangi pencapaian mara ke pentas final Piala Malaysia musim lalu.

Bagaimanapun, kelebihan beraksi di laman sendiri dilihat mampu memberikan dorongan tambahan kepada skuad kendalian Aidil, terutama dengan sokongan padu penyokong yang diharapkan memenuhi stadium.

“Kita mengharapkan sokongan pemain ke-12, iaitu peminat dan penyokong, serta stadium yang penuh untuk bersama-sama mencipta sejarah mara ke final.

“Itu akan menjadi sejarah buat Kuching City, dengan pemain akan memberikan 100 peratus komitmen,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top