KUALA LUMPUR – Tindakan menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan serta syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan telah dipenuhi, termasuk pembayaran denda yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.
Menurutnya, titah serta kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.
“Apa keperluan untuk menangguhkan lagi pelaksanaan tahanan rumah setelah pembayaran denda disempurnakan?
“Segala usaha untuk menangguhkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk penderhakaan serta pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN:‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib
Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah
Najib sudah bayar RM50 juta – Peguam
Dana sudah mencukupi, UMNO tutup Tabung Solidariti Najib
[VIDEO] Peguam ke Penjara Kajang serah perintah tahanan rumah Najib
Dua kenderaan Jabatan Penjara memasuki kediaman Najib
Kronologi keputusan tahanan rumah Najib
Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta bagi pihak Najib, rasuah tidak boleh dikompromi
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada September lalu.
AGC memaklumkan keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
Menurut kenyataan tersebut, terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap perintah berkenaan yang memerlukan penelitian lanjut sebelum pelaksanaan seterusnya dapat dilakukan.
Menurut AGC, tafsiran pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028 dengan pelaksanaannya dibuat menerusi tahanan rumah.
Tafsiran kedua pula ialah pembayaran denda berkenaan merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa implikasi bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.



