am@hmetro.com.my
Istanbul: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini.
Pertemuan di Pusat Kongres Istanbul itu bermula pada jam 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), berlangsung selama kira-kira 30 minit, selepas majlis pembukaan Forum TRT World 2026.
Mengenai hubungan dua hala, kedua-dua pihak berhasrat memperkukuh hubungan susulan penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi, yang mana mesyuarat sulungnya diadakan di Ankara Januari tahun ini.
Perbincangan turut merangkumi usaha meningkatkan sasaran perdagangan dua hala daripada AS$5.6 bilion (RM 22.74 bilion) pada 2025 kepada AS$10 bilion (RM 40.6 bilion) menjelang 2030.
Ahmad Zahid juga mengucapkan tahniah kepada Turkiye atas pelantikannya sebagai Rakan Dialog Ke-12 ASEAN dan menyatakan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Ankara selaku negara penyelaras.
Mengenai keselamatan wilayah, Ahmad Zahid memuji peranan Turkiye sebagai perantara di Syria, Lebanon dan Palestin, termasuk Gaza.
Beliau turut memuji Ankara selaku perantara dalam perang Ukraine–Rusia menerusi “Proses Istanbul” serta menyuarakan sokongan terhadap diplomasi saluran belakang bagi konflik Amerika Syarikat–Iran, bersama-sama Pakistan, Qatar dan Arab Saudi.
Selain itu, Ahmad Zahid mendoakan kejayaan Turkiye selaku tuan rumah bagi Persidangan ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP31) di Antalya pada 11 dan 12 November ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berada di Turkiye untuk lawatan kerja empat hari dari 5 hingga 8 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




