am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan sedia mempertimbangkan kelulusan pengambilan pekerja asing bagi kerja penuaian buah kelapa sawit dengan syarat industri berkenaan komited mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja terbabit menerusi penggunaan mekanisasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mempertimbangkan permohonan berkenaan secara positif dan membawanya kepada perhatian menteri yang bertanggungjawab.
Beliau berkata syarikat perladangan besar masih belum melabur secukupnya dalam mekanisasi bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja, walaupun memperoleh keuntungan yang tinggi.
“Sebuah syarikat memperoleh keuntungan RM1 bilion. Apabila gaji dinaikkan RM20 sebulan, mereka membantah. Sehinggalah kerajaan terpaksa mewajibkannya.
“Sebab itulah saya katakan ekonomi juga mesti berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.
Anwar menjawab pertanyaan wakil industri perladangan pada Forum Cendekiawan Malaysia MADANI ke-14 di sini, hari ini, sambil turut memaklumkan kebanyakan pengusaha ladang masih belum menerima kuota pekerja asing bagi tahun ini.
Wakil industri berkenaan dalam pertanyaannya berkata, penggunaan mesin sudah dilaksanakan bagi kerja pembajaan dan merumput, namun mesin untuk menuai buah kelapa sawit masih belum tersedia, menyebabkan kerja itu terus bergantung kepada tenaga buruh asing.
Beliau memaklumkan proses pengambilan pekerja mengambil masa kira-kira tiga bulan, manakala tempoh latihan memerlukan tiga bulan lagi.
Katanya, pengeluaran industri berisiko terjejas tahun depan sekiranya tenaga kerja tidak diperoleh lebih awal, khususnya dengan jangkaan fenomena El Nino dan jerebu.
Turut menyertai panel forum itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Bhd, Mohd Haris Mohd Arshad serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Dr Sarena Che Omar.
Pada November 2024, kerajaan meluluskan kuota khas sekali sahaja membabitkan 24,570 pekerja asing untuk 143 syarikat perladangan bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Pada Februari 2023, Anwar turut menggesa supaya penggunaan ejen dalam proses pengambilan pekerja asing dihentikan kerana kos tinggi yang dikenakan disifatkan sebagai satu bentuk perhambaan moden.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menegaskan sebarang bentuk penganiayaan terhadap pekerja, termasuk warga asing, tidak boleh dikompromi dan perlu dikenakan tindakan tegas.
Anwar berkata, Malaysia tidak boleh membiarkan berlakunya penindasan dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja ketika negara berusaha mencapai pertumbuhan ekonomi.
Beliau memberi contoh pekerja asing yang ditempatkan dalam keadaan menyamai perhambaan seperti yang berlaku seabad lalu.
“Saya tidak boleh menerima perkara itu,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan negara sumber pekerja asing satu demi satu bagi mengurangkan kos pengambilan tenaga kerja.
Beliau turut menyifatkan tindakan ejen yang memegang pasport pekerja sebagai satu bentuk perhambaan moden.
Katanya, kerajaan juga sudah mengadakan rundingan dengan Presiden Myanmar berhubung penghantaran pulang rakyat negara itu yang berada di Malaysia.
“Kita mempunyai 200,000 rakyat Myanmar di sini, termasuk pelarian ekonomi. Jika mereka dihantar pulang, kumpulan hak asasi manusia akan membantah. Jika mereka terus berada di sini, rakyat pula membantah,” katanya.
Anwar berkata, lebih 10,000 rakyat Myanmar sudah dihantar pulang menerusi aturan berkenaan.
“Sentimen antiwarga asing kadangkala menjadi keterlaluan sehingga tidak lagi berperikemanusiaan.
“Memperketatkan dasar ini akan menjejaskan sektor industri tertentu, manakala melonggarkannya pula boleh menimbulkan masalah ekonomi dan sosial yang serius,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




