Buktikan eksperimen ‘pilih pemain’ berjaya

Buktikan eksperimen ‘pilih pemain’ berjaya

PETALING JAYA: Ketiadaan ramai tonggak utama menyebabkan aksi Harimau Malaya dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kali ini seakan-akan menjadi medan eksperimen untuk menguji pemain lain.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan China, 14 November ini dan Yaman (17 November) di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China.

Ketika peminat mengharapkan Harimau Malaya dibarisi skuad terbaik, lain pula jadinya apabila Cheng Hoe yang juga jurulatih interim bertindak tidak memanggil beberapa tonggak utama dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata dua aksi berkenaan sepatutnya menjadi medan penting buat Cheng Hoe untuk mengasah taring Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berpandangan ketiadaan ramai tonggak utama menyebabkan aksi dalam kalendar FIFA kali ini lebih kepada medan eksperimen untuk Cheng Hoe menguji barisan pemain yang sebelum ini gagal mendapat tempat.

“Bagaimana skuad kebangsaan mahu memperkemaskan mutu persembahan apabila ramai pemain bintang tiada dalam senarai? Jadi, kita anggap jurulatih hendak bereksperimen dengan pemain lain.

“Impaknya masih menjadi tanda tanya kepada semua. Namun, saya tidak menafikan bahawa mungkin ada juga impak positif daripada uji kaji ini.

“Apa pun kita sentiasa kena berfikiran positif dan apa yang diharapkan adalah Cheng Hoe dapat sesuatu hasil daripada eksperimen yang dijalankan ini untuk kepentingan Harimau Malaya,” katanya.

Untuk dua aksi persabatan menentang China dan Yaman, Harimau Malaya akan turun tanpa Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi, Manuel Hidalgo, Stuart Wilkin, Brad Tapp dan Corbin Ong yang menjadi sandaran ketika Piala ASEAN FIFA 2026.

Mengulas lanjut, Zulakbal berkata, Harimau Malaya seperti mensia-siakan peluang untuk memantapkan lagi keserasian pemain selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan pada Piala ASEAN FIFA. 

“Jendela perlawanan antarabangsa ada masanya, jadi selepas ini skuad kebangsaan perlu menunggu lagi untuk mengumpul pemain dan meningkatkan keserasian terbaik.

“Jadi, ia kelihatan seakan pasukan mensia-siakan peluang kali ini untuk memantapkan keserasian itu. Kebetulan pula lawan yang akan dihadapi seperti China adalah pasukan berkualiti dan berada di ranking lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top