Barry mengganas, Everton panjat tangga kelima EPL

Barry mengganas, Everton panjat tangga kelima EPL

Liverpool: Thierno Barry meneruskan ketajaman di depan gol apabila meledak dua jaringan untuk membantu Everton menewaskan Coventry 3-1 sekali gus melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian David Moyes itu terlebih dulu ketinggalan selepas Yann Gboho meletakkan Coventry di depan menerusi jaringan awal babak kedua di Stadium Hill Dickinson.

Namun, Barry muncul watak penting buat Everton apabila meledak dua gol dalam tempoh hanya lima minit untuk mengubah kedudukan dan memastikan pasukannya kembali menguasai permainan.

Moyes sebelum ini mencetuskan perhatian apabila mendakwa bintang Manchester City, Erling Haaland, “sepatutnya bimbang” dengan kemampuan Barry untuk mengambil alih status penyerang paling berbisa dalam EPL.

Walaupun kenyataan itu mungkin kedengaran berlebihan, prestasi Barry musim ini sememangnya mengagumkan apabila dia sudah mengumpul 10 gol, mengatasi keseluruhan jumlah jaringannya sepanjang kempen 2025-26.

Prestasi hambar pada musim pertamanya bersama Everton selepas berhijrah dari Villarreal kini semakin dilupakan apabila penyerang berusia 24 tahun itu menemui sentuhan terbaik dengan meledak enam gol dalam tujuh penampilan terakhir bagi semua pertandingan.

Kiernan Dewsbury-Hall kemudian melengkapkan kemenangan Everton menerusi jaringan pada penghujung perlawanan sekali gus memastikan kemenangan ketiga berturut-turut pasukan itu dalam semua pertandingan.

Kemenangan berkenaan turut membawa makna tersendiri buat Moyes apabila dia menyamai rekod Harry Catterick yang mengendalikan Everton sebanyak 592 perlawanan.

Catterick pernah membantu Everton menjulang gelaran Divisyen Satu dan Piala FA, namun Moyes yang kini menjalani penggal kedua bersama kelab itu masih menantikan peluang menamatkan kemarau trofi yang berlarutan sejak 1995.

Berdasarkan perkembangan sepanjang 10 hari lalu, Everton dilihat semakin menunjukkan perkembangan positif.

Dua kemenangan ke atas Newcastle dalam saingan Piala Liga dan EPL disusuli kejayaan matang menewaskan Coventry, semuanya diraih tanpa kelibat Jack Grealish yang digantung akibat melanggar disiplin selepas dilaporkan tidak menghadiri sesi latihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top