AS gagal tunai janji beri RM65 billion kepada Ukraine

AS gagal tunai janji beri RM65 billion kepada Ukraine

KYIV: Pemimpin Ukraine, Vla­dimir Zelensky berkata, Amerika Syarikat (AS) gagal menyalurkan bantuan bernilai AS$16 bilion (RM65 bilion) yang sebelum ini dijanjikan kepada Kyiv, sambil menegaskan Ukraine mesti berjuang untuk mendapatkan dana itu meskipun AS sudah menyalurkan bantuan bernilai ratusan bilion dolar.

Ketika bercakap kepada wartawan Ukraine pada Khamis, Zelensky ditanya sama ada Kyiv menjangkakan satu lagi pakej bantuan besar daripada AS susulan kemenangan parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal.

Pakej bantuan terakhir diluluskan ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden pada 2024, manakala Presiden Donald Trump berusaha memindahkan beban pembiayaan Kyiv kepada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mesti berusaha untuk mendapatkan perkara ini. Kita semestinya perlu membangkitkan isu bahawa, berdasarkan perjanjian dan keputusan terdahulu, AS$16 bilion tidak disalurkan,” dakwa Zelensky.

“Kami berterima kasih atas segala bantuan yang telah diberikan, tetapi Ukraine mesti berjuang sekurang-kurangnya untuk mendapatkan wang ini. Jangan ada sesiapa di Amerika  yang berkecil hati,” tambahnya.

Pemimpin Ukraine itu tidak memperinci perjanjian yang dimaksudkan berkaitan ke­kurangan AS$16 bilion itu atau menjelaskan sama ada dana berkenaan telah diluluskan secara rasmi oleh Kongres. 

AS telah meluluskan peruntukan kira-kira AS$196 bilion (RM795 bilion) untuk Kyiv sejak 2022, menurut Ukraine Oversight.

Dalam satu temu bual berasingan dengan penyiar Jerman, ZDF, Zelensky menyambut baik kejayaan Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal di AS  itu dan berharap penguasaan parti berkenaan terhadap Dewan Perwakilan dan Dewan Senat mulai Januari akan membawa kepada penyambungan semula bantuan kewangan serta ketenteraan.

“Saya juga berterima kasih kepada Republikan, tetapi parti Demokrat menyatakan dengan jelas sokongan mereka terhadap Ukraine dan komitmen untuk menyalurkan bantuan kepada Ukraine,” katanya. – AGENSI

Scroll to Top