Sekolah di Pattaya ditutup susulan ancaman tembakan dalam kumpulan Line pelajar

Sekolah di Pattaya ditutup susulan ancaman tembakan dalam kumpulan Line pelajar

Pattaya: Sekolah Bandar Pattaya 3 di Naklua di sini ditutup serta-merta selama dua hari bermula Khamis selepas mesej berunsur ancaman yang dimuat naik dalam kumpulan aplikasi Line pelajar Tingkatan Satu mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku insiden tembakan, lapor Pattaya Mail.

Ibu bapa diarahkan segera mengambil anak masing-masing manakala pihak berkuasa daerah dan polis memperketat kawalan keselamatan di sekitar sekolah bagi memastikan keadaan terkawal.

Insiden itu mula disedari kira-kira jam 8 pagi apabila guru menghubungi ibu bapa dan meminta mereka datang menjemput anak masing-masing.

Anggota polis turut dikerahkan ke sekolah berhampiran persimpangan Wat Sawang Fa di daerah Banglamung bagi memantau situasi serta membantu proses membawa keluar pelajar.

Ketua Daerah Banglamung, Anusak Piriya-amorn bersama Timbalan Datuk Bandar Pattaya, Krisana Boonsawat dan Superintendan Balai Polis Banglamung, Sarawut Nuchanart turut hadir ke sekolah berkenaan bagi menilai keadaan serta menyelaras tindakan lanjut.

Proses membawa keluar kira-kira 1,000 pelajar dari sekolah itu mengambil masa hampir dua jam dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

Kebimbangan itu tercetus susulan mesej yang dimuat naik dalam kumpulan Line pelajar terbabit kira-kira jam 7.20 malam pada 4 November.

Satu akaun tidak dikenali yang baru menyertai kumpulan itu dilaporkan menghantar mesej ugutan untuk menembak pelajar pada keesokannya. Mesej berkenaan bagaimanapun dipadamkan sebelum sempat disimpan oleh guru.

Seorang pelajar memberitahu pemberita bahawa dia pada mulanya mahu memasukkan seorang rakan ke dalam kumpulan itu, namun tersilap menjemput individu lain sebelum akaun berkenaan menghantar mesej ancaman.

Menurut pelajar itu, individu berkenaan kemudian menghantar permohonan maaf pada pagi 5 November dan dipercayai adalah pelajar tingkatan satu di sekolah terbabit.

Krisana yang menyelia hal ehwal pendidikan bagi Bandar Pattaya berkata, pelajar yang dipercayai menghantar mesej ancaman itu berusia 16 tahun dan masih berdaftar di sekolah berkenaan.

Remaja terbabit dilaporkan tidak hadir ke kelas selama tiga hari manakala motif di sebalik tindakannya masih belum diketahui.

Anusak berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis Banglamung untuk mengesan pelajar berkenaan serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada mesej itu sekadar gurauan, ugutan sebenar atau berpunca daripada isu dalaman sekolah.

Pihak berkuasa lega kerana tiada insiden keganasan berlaku dan semua pelajar berjaya dibawa keluar dengan selamat.

Seorang ibu bapa yang hadir mengambil anaknya berkata, keluarganya tidak terlalu panik, namun berharap pihak berkuasa mengenal pasti punca sebenar kejadian bagi mengelakkan insiden sama berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top