PONTIAN: Kesemua 191 UMNO Bahagian di seluruh Malaysia digesa membuat laporan polis berhubung keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, laporan itu sebagai desakan agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik penangguhan berkenaan, serta merta.
“Sepatutnya tiada alasan diberi kerana semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, berhubung keputusan dalam Jawatankuasa Pengampunan yang memutuskan pelaksanaan tahanan rumah itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sehubungan itu, semua UMNO Bahagian digesa membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Benut, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohd. Sumali Reduan dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Jamaluddin Abd. Majid.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut memberitahu, sokongan terhadap bekas Presiden UMNO itu turut perlu ditunjukkan kesemua sayap parti termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Semalam, AGC mengeluarkan kenyataan memaklumkan penangguhan sementara terhadap pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi meneliti tafsiran undang-undang berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kenyataan itu dibuat selepas denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat utama telah dibayar sepenuhnya selepas Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September mencapai sasaran ditetapkan.-UTUSAN




